Skip to main content

Dunia

Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi susuli banjir Nepal-Tibet; 34 warga Australia, 9 warga Korea Selatan turut hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi susuli banjir Nepal-Tibet; 34 warga Australia, 9 warga Korea Selatan turut hilang

Sebatang jalan ditenggelami air susuli banjir kilat di Galchhi, daerah Dhading, Nepal, pada 26 Ogos 2026. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 11:38AM
  • Lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal gagal dihubungi selepas banjir besar pada 26 Ogos, dengan ratusan warga asing termasuk Australia, Korea Selatan dan India turut hilang.
  • Pihak berkuasa Nepal menggerakkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan helikopter, namun usaha terjejas akibat kerosakan komunikasi dan infrastruktur.
  • Banjir disebabkan runtuhan glasier dan aliran puing dari China, bukan gempa bumi seperti disangka awal, dan telah memusnahkan perkampungan serta projek tenaga di Nepal.
  • Negara seperti India, Bangladesh dan Pakistan menawarkan bantuan, manakala kawasan sempadan di India turut berjaga-jaga menghadapi risiko banjir susulan kejadian ini.
Dijana oleh AI
KATHMANDU: Lebih 50 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi ahli keluarga susuli banjir dahsyat pada Rabu (26 Ogos), sedang ratusan penduduk tempatan dan warga asing masih belum diketahui nasib mereka.

"Kami masih mengumpul maklumat mengenai rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi.

"Ahli keluarga gagal menghubungi lebih 50 rakyat Malaysia," kata Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu Mohd Firdaus Azman kepada Bernama lewat Rabu (26 Ogos).

Menurut beliau, akses jalan raya ke kawasan terjejas terganggu akibat banjir Sungai Bhote Koshi, manakala pihak berkuasa Nepal sudah mengerahkan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat.

"Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa," katanya.

Beliau menambah bahawa kerosakan prasarana komunikasi menyukarkan usaha mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi.

Rakyat Malaysia yang cuba mengesan saudara-mara atau rakan mereka diminta menghantar butiran pasport dan perjalanan individu berkenaan kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu bagi tujuan penyelarasan.

WARGA AUSTRALIA, KOREA SELATAN TURUT HILANG

Dalam perkembangan berasingan, seramai 34 warga Australia dan sembilan pekerja loji hidroelektrik Korea Selatan masih hilang setakat Khamis (27 Ogos), menurut kedua-dua negara.

Korea Selatan turut menyatakan 10 lagi pekerjanya terkandas di kawasan terjejas.

"Pada ketika ini Nepal merupakan sebuah negara membangun. Ia tidak mempunyai sumber seperti yang tersedia sekiranya kejadian sedemikian berlaku di Australia, jadi sukar untuk mendapatkan maklumat," kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dalam satu perbincangan panel.

"Ingatan kami bersama semua yang bimbang mengenai insan tersayang mereka hari ini," tambahnya.

Kementerian Luar Australia menyatakan para pegawainya sedang berusaha segera untuk mengesahkan keadaan rakyat negara itu di kawasan terjejas.

Pihaknya turut berhubung dengan pihak berkuasa tempatan serta pengendali pelancongan.

Sembilan pekerja Korea Selatan yang hilang pula bekerja bagi Korea Energy dan Doosan Enerbility, menurut Kementerian Luar Korea Selatan.

Nepal sudah mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari mereka.

Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun mengadakan mesyuarat tergempar bersama para pegawai pemerintah, manakala satu pasukan terdiri daripada polis, pegawai khidmat kecemasan dan kementerian luar akan berlepas ke Kathmandu pada Khamis.

Seramai 10 lagi pekerja Korea Selatan yang mempunyai kaitan dengan Doosan Enerbility terkandas di kawasan tersebut dan sedang menunggu helikopter yang dihantar pihak berkuasa Nepal untuk memindahkan mereka.

Sekurang-kurangnya 142 warga India turut dilaporkan hilang.
Related article image
Anggota penyelamat menggunakan jengkaut untuk membawa mangsa banjir kilat ke tempat selamat di sepanjang Sungai Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal. (Gambar: AP)
LEBIH 160 TERKORBAN

Angka korban akibat bencana itu melepasi 160 orang pada malam Rabu, manakala ratusan lagi termasuk pelancong, anggota polis dan pasukan keselamatan Nepal masih belum diketahui nasib mereka.

Banjir tersebut menghanyutkan perkampungan, jambatan dan beberapa projek tenaga.

Sebanyak 19 jambatan dan 40 kilometer lebuh raya musnah akibat bencana itu, menurut laporan Kathmandu Post.

Polis turut menghentikan pergerakan kenderaan dari Kathmandu menuju ke daerah Rasuwa, Nuwakot dan Dhading yang paling teruk terjejas.

Di China, tiga kematian dilaporkan manakala 265 orang masih hilang.

Rakaman CCTV menunjukkan bangunan dan kenderaan di pelabuhan sempadan Gyirong di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, musnah dibadai arus deras air dan lumpur.

Presiden China Xi Jinping sudah mengarahkan usaha menyeluruh dijalankan bagi mengesan mereka yang hilang.

USGS: TIADA GEMPA BUMI BERLAKU

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan satu kejadian seismik berlaku berhampiran sempadan Nepal-China pada 8.37 pagi waktu tempatan pada Rabu (26 Ogos).

Kejadian itu pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi berukuran 4.4 magnitud.

Namun, analisis lanjut terhadap stesen seismik berhampiran, gelombang seismik jangka panjang dan imej satelit mendapati kejadian tersebut sebenarnya berpunca daripada runtuhan glasier dan aliran puing.

Menurut USGS, tiada gempa bumi berlaku.

Pihak berkuasa Nepal berkata banjir kilat dari arah China memasuki negara itu menerusi Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa.

NEGARA-NEGARA HULUR BANTUAN

India sudah menghantar pesawat C-130J yang membawa 10 tan barangan bantuan penting dan bekalan perubatan ke Nepal.

Tentera Udara India menyatakan penerbangan tambahan menggunakan pesawat C-17 dan C-130 akan membawa lebih banyak bekalan bantuan, manakala helikopter diperuntukkan bagi operasi menyelamat dan pemindahan.

Bangladesh dan Pakistan turut menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan kepada Nepal.

Dalam pada itu, wilayah Bihar dan Uttar Pradesh di India yang bersempadan dengan Nepal berada dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.

Kementerian Dalam Negeri India menyatakan kenaikan mendadak paras air Sungai Trishuli di Furke Khola, Nepal, dikesan sekitar 160 kilometer dari sempadan India.

Kesan banjir itu dijangka turut menjejas kawasan hilir Sungai Gandak di India.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita