Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 50 maut dalam kemalangan lombong arang batu di Siberia

Lebih 50 orang dilaporkan maut pada Khamis (25 Nov) selepas mengalami sesak nafas terlepas terhidu asap tebal di lombong arang batu di Siberia dalam usaha menyelamat yang berakhir dengan tragedi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 50 maut dalam kemalangan lombong arang batu di Siberia

Persediaan operasi cari dan menyelamat di lombong arang batu di Siberia, Rusia pada 25 Nov 2021 (Gambar: Kementerian bagi Keadaan Kecemasan Rusia, via AP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 06:39PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 06:45PM

GRAMOTEINO: Lebih 50 orang dilaporkan maut pada Khamis (25 Nov) selepas mengalami sesak nafas terlepas terhidu asap tebal di lombong arang batu di Siberia dalam usaha menyelamat yang berakhir dengan tragedi.

Pengurus kanan lombong di wilayah Kemerovo, Rusia ditahan kerana disyaki melanggar peraturan keselamatan, selepas kemalangan maut terbaru melanda industri perlombongan besar negara itu.

Agensi-agensi berita Rusia memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata bahawa 52 orang maut, termasuk pelombong dan enam penyelamat yang telah menyertai operasi mencari yang kemudian dihentikan atas faktor keselamatan.

"Menurut maklumat awal, tiada mangsa yang dipercayai selanat dalam lombong itu," lapor agensi berita negara TASS memetik sumber dari perkhidmatan kecemasan tempatan.

Lombong Listvyazhnaya, berhampiran bandar Belovo di wilayah perlombongan Kemerovo, dipenuhi dengan asap pada awal pagi Khamis ketika 285 orang terperangkap di dalamnya.

Kebanyakan daripada mereka berjaya keluar, namun 35 pelombong tidak dapat dikesan, kata pegawai.

Sehingga kini, punca kejadian masih disiasat, namun beberapa media Rusia melaporkan bahawa habuk dalam lubang pengudaraan terbakar, menyebabkan lombong itu dipenuhi asap.

Agensi berita RIA Novosti memetik laporan pihak pendakwa bahawa percikan api mungkin mencetuskan letupan metana.

Operasi mencari dan menyelamat dibatalkan beberapa jam kemudian selepas para pegawai memberi amaran ancaman letupan boleh berlaku.

Terdapat laporan bahawa anggota penyelamat kehabisan oksigen dan agensi berita menyatakan enam mayat turut ditemui.

Agensi berita swasta Interfax memetik seorang pegawai tempatan sebagai berkata anggota penyelamat itu sesak nafas.

"TRAGEDI DAHSYAT"

Hampir 40 orang dimasukkan ke hospital, menurut pihak berkuasa wilayah.

Pihak gabenor mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di wilayah itu bermula Jumaat.

“Ini adalah satu tragedi yang dahsyat,” kata Presiden Vladimir Putin semasa perbincangan dengan pemimpin Serbia Aleksandar Vucic di Sochi.

Lombong Listvyazhnaya dibuka pada 1956 dan dimiliki oleh syarikat SDS-Ugol yang berpangkalan di bandar Kemerovo.

Letupan metana pada 2004 membunuh 13 orang di lombong yang sama dan satu lagi letupan di tapak itu mengorbankan lima orang pada 1981.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan