Lebih 50 lelaki jadi mangsa keganasan rumah tangga
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun 2018.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun 2018.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Hannah Yeoh berkata jumlah itu membentuk 5.4 peratus daripada keseluruhan kes, iaitu sebanyak 1,037 kes.
Cik Yeoh berkata daripada keseluruhan kes itu, ia melibatkan 484 kes mencederakan mangsa secara fizikal dan 401 kes sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan.
"Manakala sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran sebanyak 30 kes," katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini (21 Mac).
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu mengenai jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM bagi tempoh antara 2017 hingga 2018.
Cik Yeoh berkata kementerian itu sudahpun melakukan pindaan berkenaan Akta Keganasan Rumah Tangga dan mempertingkatkan lagi usaha memberikan perlindungan kepada mangsa dengan cara memberi perintah perlindungan sementara, memindahkan mangsa supaya tinggal berasingan atau kembali ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.