Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 423,000 warga Palestin pulang ke utara Carikan Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 423,000 warga Palestin pulang ke utara Carikan Gaza

(Gambar: AFP/Omar AL-QATTAA)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 01:42PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 01:44PM
CARIKAN GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (29 Jan) melaporkan bahawa hampir 430,000 orang sedang melakukan perjalanan dari selatan Carikan Gaza ke utara wilayah itu, menurut Agensi Anadolu.

"Rakan kemanusiaan kami menganggarkan lebih 423,000 orang telah menyeberang dari selatan ke utara sejak pembukaan jalan Salah ad-Din dan Al Rashid pada Isnin," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam sidang media.

Beliau berkata pekerja bantuan di lapangan menyediakan makanan, air dan kit kebersihan kepada mereka yang dalam perjalanan, sambil menambah Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang mengedarkan gelang pengenalan kepada kanak-kanak bagi membantu keluarga kekal selamat dan berhubung sepanjang perjalanan.

"Mereka yang dalam perjalanan termasuk kanak-kanak tanpa penjaga, wanita hamil, warga emas, individu yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan berterusan," tambahnya.

Encik Dujarric turut menekankan "kemerosotan drastik pada situasi kemanusiaan dan perlindungan" di Tebing Barat yang diduduki.

"Tentera Israel meneruskan operasi mereka di wilayah Jenin dan Tulkarm di utara Tebing Barat. Kami telah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan taktik bersenjata secara meluas semasa operasi ini," katanya.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Encik Dujarric melaporkan bahawa "infrastruktur awam dimusnahkan dan perkhidmatan penting terganggu" di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau berkata hampir 1,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat gangguan pada perkhidmatan penting.

Mengulas mengenai larangan Israel terhadap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang dijadual berkuat kuasa pada Khamis (30 Jan), Encik Dujarric berkata PBB telah "mengambil beberapa langkah" dan menegaskan bahawa agensi itu "akan terus melaksanakan mandatnya selagi ia masih boleh beroperasi secara fizikal."

Mengenai kemungkinan ancaman oleh penguat kuasa undang-undang Israel terhadap agensi itu dan kakitangannya, Encik Dujarric berkata: "Kakitangan, tanpa mengira kerakyatan mereka perlu dilindungi mengikut undang-undang antarabangsa dan mengikut kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa."

Beliau juga menyatakan bahawa PBB tidak menerima sebarang jaminan oleh Israel berhubung perlindungan ke atas kakitangannya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan