Lebih 4,100 pekerja diberhentikan sejak penutupan operasi pemerintah Amerika bermula
Jumlah pemberhentian pekerja persekutuan Amerika Syarikat menyusuli penutupan operasi pemerintah disemak turun pada Selasa (14 Okt), menunjukkan bahawa kenyataan awal pentadbiran Encik Trump berhubung pemansuhan jawatan mungkin terlalu tinggi.
Bangunan Capitol Amerika Syarikat di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 29 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Nathan Howard)
Pentadbiran Encik Trump memberhentikan 4,108 pekerja sejak 1 Oktober, iaitu hari bermulanya penutupan operasi pemerintah Amerika Syarikat, menurut kenyataan yang difailkan pada Selasa di mahkamah oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.
Pada minggu lalu, Jabatan Keadilan dalam pemfailan berasingan di mahkamah menganggarkan jumlah tersebut melibatkan sekurang-kurangnya 4,278 orang.
Pemansuhan jawatan tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada tenaga kerja pemerintah Amerika Syarikat.
Agensi-agensi Amerika menggajikan kira-kira dua juta kakitangan awam pada tempoh awal pentadbiran Encik Trump.
Penutupan operasi pemerintah berlaku kerana Encik Trump dan para penggubal undang-undang gagal mencapai persetujuan berhubung pelan perbelanjaan bagi agensi-agensi persekutuan.
Encik Trump dilaporkan cuba memberi tekanan ke atas Parti Democrat supaya menerima pelan perbelanjaannya dengan memberhentikan pekerja-pekerja persekutuan serta mengurangkan program, yang menurutnya, digemari oleh Democrat.
Sejak 1981, Amerika Syarikat mengalami 15 penutupan operasi pemerintah persekutuan yang menyebabkan ratusan ribu pekerja digantung tugas buat sementara.
Namun tiada presiden sebelum ini yang pernah menggunakan penutupan operasi pemerintah sebagai alasan untuk melaksanakan pemberhentian kerja besar-besaran.
Pemberhentian kerja tersebut dijangka menjejas operasi pemerintah, termasuk siasatan berhubung wabak penyakit dan persediaan bagi kolej.
Kesatuan pekerja persekutuan kini memfailkan saman bagi membatalkan pemberhentian kerja tersebut.
Undang-undang Amerika Syarikat melarang agensi pemerintah daripada menjalankan fungsi tanpa peruntukan dana yang diluluskan oleh Kongres.
Namun, terdapat pengecualian tertentu, termasuk bagi tujuan keselamatan negara dan perkhidmatan penting untuk melindungi nyawa serta harta benda.
Kesatuan berkenaan berhujah menegaskan bahawa penutupan itu tidak mewajarkan pemberhentian kerja besar-besaran kerana kebanyakan pekerja persekutuan sudah pun digantung tugas tanpa gaji.
Seorang hakim persekutuan dijangka mendengarkan kes tersebut pada 15 Oktober.
Anggota-anggota parlimen dari Maryland dan Virginia mengecam tindakan pemberhentian kerja itu dalam satu perhimpunan yang diadakan berhampiran Rumah Putih pada pagi Selasa, sambil berhujah bahawa langkah tersebut menjejas keluarga yang mereka wakili.
Berdasarkan statistik persekutuan, kira-kira 20 peratus tenaga kerja persekutuan tinggal di Washington DC, Maryland dan Virginia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.