Lebih 40 maut dalam rempuhan di perayaan keagamaan Israel
Sekurang-kurangnya 44 orang maut dan lebih 100 cedera dalam kejadian rempuhan di satu acara perayaan keagamaan Yahudi di Israel pada Jumaat (30 Apr).
Mayat mereka yang terkorban dalam rempuhan semasa upacara keagamaan di Israel pada 30 Apr 2021 (Gambar: Ishay Jerusalemite/Behadrei Haredim via AP)
BAITULMAKDIS: Sekurang-kurangnya 44 orang maut dan lebih 100 cedera dalam kejadian rempuhan di satu acara perayaan keagamaan Yahudi di Israel pada Jumaat (30 Apr).
Tragedi berlaku di kawasan perkuburan Gunung Meron di utara Israel semasa acara tahunan memperingati ulang tahun Lag B'Omer yang merangkumi upacara doa dan tarian sepanjang malam.
Mereka berkumpul walaupun terdapat amaran awal oleh pegawai bagi mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19.
Menurut saksi, mereka ternampak orang ramai dihimpit dan mengalami sesak nafas dan dipijak ketika penganjur memohon agar orang ramai bersurai.
Upacara keagamaan Lag B'Omer itu merupakan perhimpunan terbesar diadakan di Israel sejak pandemik koronavirus melanda lebih setahun lalu, dengan laporan menyatakan jumlah orang yang datang adalah tiga kali ganda dibenarkan.
Kawasan perkuburan itu dianggap salah satu tempat paling suci bagi orang-orang Yahudi dan sering diziarahi mereka.
Puluhan ribu orang membanjiri kawasan tersebut meskipun pihak berkuasa hanya membenarkan perhimpunan seramai 10,000 dan amaran dari para pegawai kesihatan kerana COVID-19.
Belum diketahui punca tragedi itu tetapi ada media menyatakan sebahagian kawasan tempat duduk runtuh.
Namun para pegawai kemudian berkata mangsa-mangsa yang mati disebabkan sesak nafas atau terpijak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan tragedi itu sebagai "bencana besar".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.