Lebih 40 haiwan dari taman haiwan Gaza dipindahkan
Lebih 40 ekor haiwan termasuk lima singa dipindahkan dari keadaan teruk di sebuah taman haiwan Semenanjung Gaza pada Ahad untuk dibawa ke Jordan, menurut satu kumpulan kebajikan haiwan.

Seekor singa dari Rafah, Gaza dipindahkan ke Jordan (Gambar: AFP)
RAFAH: Lebih 40 ekor haiwan termasuk lima singa dipindahkan dari keadaan teruk di sebuah taman haiwan Semenanjung Gaza pada Ahad untuk dibawa ke Jordan, menurut satu kumpulan kebajikan haiwan.
Kesemua 43 haiwan yang dalam keadaan kurus dan lemah, termasuk seekor serigala dan beberapa ekor monyet, tinggal dalam "keadaan teruk" menurut persatuan Four Paws yang menganjurkan pemindahan itu.
Taman haiwan Rafah di Semenanjung Gaza itu adalah yang tertua di wilayah itu, yang dikepung Israel selama lebih sedekad.
Encik Martin Bauer, jurucakap Four Paws yang berpangkalan di Vienna berkata, haiwan-haiwan tersebut dalam keadaan lemah namun cukup stabil untuk dipindahkan ke sebuah kawasan simpanan di Jordan yang terletak 300 kilometer dari Gaza.
Haiwan-haiwan tersebut juga diberi ubat pelali untuk diletakkan di dalam kandang bagi pemindahan menerusi Israel. Dua ekor singa kemudiannya akan dihantar ke Afrika Selatan.
Four Paws sepatutnya melakukan pemindahan pada lewat Mac, namun pertubuhan tersebut tidak dapat memasuki Gaza kerana laluan ditutup pada minggu itu akibat keganasan yang tercetus antara kelompok bersenjata Gaza dengan Israel.
Encik Bauer berkata misi pemindahan itu disokong pihak berkuasa Gaza yang diketuai Hamas dan pemilik taman haiwan itu, yang berkata beliau tidak lagi mampu untuk menjaga haiwan-haiwan tersebut.
Israel juga memberi kebenaran bagi pemindahan itu.
Tambah Encik Bauer, misi itu adalah yang terbesar dikendalikan Four Paws dan melibatkan rundingan intensif.
Taman haiwan tersebut menarik perhatian ramai baru-baru ini apabila pemiliknya mendedahkan beliau mencabut kuku-kuku salah seekor singa di situ agar pengunjung dapat membayar untuk bermain dengannya.
Pada Januari, empat ekor anak singa mati kesejukan di taman itu.
Semenanjung Gaza dibelenggu kemiskinan dan kekurangan prasarana, termasuk kekurangan bekalan elektrik.
Four Paws menyatakan beberapa haiwan di taman haiwan tersebut mati akibat pengeboman sejak ia dibuka pada 1999.
Pada 2016, Four Paws membantu dalam pemindahan satu-satunya harimau di Semenanjung Gaza ke Afrika Selatan.
Pada 2017, pertubuhan itu menyelamatkan seekor singa dan beruang dari sebuah taman haiwan di Mosul di utara Iraq, bekas kubu kuat ISIS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.