Lebih 37,000 penduduk di 6 negeri Malaysia terjejas oleh banjir
Lebih 37,000 penduduk terjejas oleh banjir akibat hujan lebat di enam negeri Malaysia pada minggu ini, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis (28 Nov).

(Gambar: Facebook/Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)
Bercakap di parlimen, Encik Anwar berkata 322 pusat perlindungan sementara dibuka di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak bagi menempatkan para mangsa banjir.
Negeri timur laut Kelantan yang bersempadan dengan Thailand, paling teruk terjejas oleh banjir.
Seramai 30,582 individu daripada 9,223 keluarga terjejas dek banjir di negeri itu, kata Encik Anwar.
Banjir kerap berlaku di kawasan pantai timur Malaysia semasa musim monsun tahunan dari bulan Oktober hingga Mac, di mana ia menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa berpindah.
Satu catatan Facebook oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Khamis (28 Nov) menunjukkan anggota penyelamat bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Kelantan.


Jabatan Kaji Cuaca pada Rabu (27 Nov) mengeluarkan amaran tahap warna merah bagi hujan lebat berterusan - menandakan berlaku hujan lebat di tahap bahaya - di negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu.
Ia menjangkakan hujan lebat akan berterusan hingga Jumaat (29 Nov).
Agensi Pengurusan Bencana Negara diarahkan supaya mengerahkan semua agensi persekutuan dan negeri bagi memastikan keselamatan mangsa banjir sepanjang tempoh cuaca monsun, kata Encik Anwar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.