Skip to main content

Dunia

Lebih 320 anggota penguat kuasa JPJ ditempatkan di Johor sempena Tahun Baharu Cina

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 320 anggota penguat kuasa JPJ ditempatkan di Johor sempena Tahun Baharu Cina
Kenderaan di lebuh raya Malaysia. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 14 Feb 2026 05:23PM Dikemas Kini : 14 Feb 2026 05:24PM
JOHOR BAHRU: Seramai 325 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditempatkan di seluruh Johor, terutama di 33 'hotspot' atau tapak yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, sepanjang operasi khas yang bermula pada Jumaat (13 Feb) hingga 22 Februari ini sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Tapak 'hotspot' berkenaan membabitkan tiga lokasi di Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara (tiga), Muar (empat), Tangkak (empat), Batu Pahat (tiga), Kluang (tiga), Segamat (empat), Pontian (lima), Kota Tinggi (dua) dan Mersing (dua).

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, berkata pihaknya telah merekodkan peningkatan tahap pematuhan pengguna jalan raya di koridor penguatkuasaan, termasuk kawasan berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan itu, lapor agensi berita BH Online.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada laluan utama negeri dan lebuh raya dengan matlamat mengurangkan kadar kemalangan serta kematian, khususnya ketika musim perayaan yang dikenal pasti sebagai tempoh kritikal peningkatan trafik.

"Fokus kita ialah memastikan berlaku pengurangan kadar kemalangan di lokasi terbabit, selain penurunan kadar kematian akibat nahas jalan raya," katanya kepada media pada hari pertama Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Larkin Sentral pada Jumaat, dipetik daripada BH Online.

Operasi itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Mengulas lanjut, Encik Zulkarnain berkata, anggota penguat kuasa JPJ akan turut melakukan tugasan penyamaran dalam bas yang bergerak di atas jalan raya sepanjang tempoh operasi pada musim perayaan ini.

Dalam pada itu, menurutnya, pelaksanaan operasi pada Jumaat dimulakan dengan pemeriksaan bas di depot bagi memastikan semua bas yang akan bergerak di atas jalan raya sepanjang musim perayaan ini berada dalam keadaan selamat.

Beliau memaklumkan dalam operasi itu, sebanyak 50 bas diperiksa yang semuanya mendapat kelulusan untuk beroperasi, lapor BH Online.

Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap status pengaktifan Peranti Had Kelajuan (SLD) pada setiap bas.

Sementara itu, Encik Zulkarnain berkata, larangan pemanduan kenderaan barangan dikuatkuasakan pada Jumaat dan Sabtu, serta pada 21 dan 22 Februari ini, bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita