Lebih 3,100 saman dikeluarkan terhadap pemandu SG tanpa VEP
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 3,148 saman dengan kutipan mencecah hampir RM1 juta (S$306,670) kepada pemilik kenderaan dari Singapura yang tidak memiliki Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ke Malaysia selepas peraturan itu dikuatkuasakan bermula Julai lalu.
Kenderaan berdaftar Singapura tanpa tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah atau yang belum diaktifkan ditahan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia sejurus selepas tengah malam pada 1 Julai 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
VEP ialah sistem pengesahan kemasukan wajib bagi semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia.
Ia memerlukan pendaftaran online melalui portal VEP dan pemasangan tag RFID VEP pada kenderaan tersebut.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, berkata jumlah itu dicatat setakat sehingga Ahad (28 Sep) dengan setiap saman RM300 (S$92) perlu dibayar sebelum kenderaan tersebut dibenar keluar melepasi sempadan negara.
Beliau berkata, pemandu Singapura wajib memasang sistem VEP pada kenderaan bagi meningkatkan keselamatan sempadan, memudahkan pengumpulan data dan membolehkan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang jalan raya ke atas kenderaan mereka.
Menurutnya, tindakan tegas ini sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia dalam memperketat kawalan terhadap kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk utama, khususnya dari Singapura.
"Berdasarkan statistik rasmi, jumlah kutipan hasil daripada saman itu mencecah RM944,400 (S$289,620) dengan nilai setiap saman ditetapkan RM300.
"Sebenarnya VEP ini satu sistem penting bagi menjamin keselamatan jalan raya dan mengelak penyalahgunaan kenderaan asing di negara ini.
"Ini kerana pihak berkuasa Malaysia boleh memantau kenderaan asing, meningkatkan keselamatan dan menguruskan saman lalu lintas sepanjang mereka berada di negara ini, malah kita akan terus meningkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa," katanya, seperti dipetik BH Online.
306,449 SUDAH DAFTAR VEP
Encik Aedy Fadly berkata, setakat 31 Ogos lalu, sebanyak 306,449 kenderaan persendirian dari Singapura sudah mendaftar bagi VEP.
Beliau berkata, tempoh advokasi berhubung pelaksanaan penguatkuasaan VEP itu sudah mencukupi dan tindakan tegas tanpa kompromi diambil dengan mengeluarkan saman serta-merta yang juga perlu dijelaskan segera.
"Selain bagi menambah baik pemantauan kenderaan asing, pemasangan VEP juga dapat mengelak cukai jalan dan insurans yang tidak sah serta meningkatkan kecekapan sistem kutipan tol dan caj jalan (RC)," katanya, seperti dinukil BH Online.
Encik Aedy Fadly berkata, proses pendaftaran VEP boleh dilakukan dengan mudah dan cepat, selari dengan usaha kerajaan bagi mempertingkatkan sistem digitalisasi perkhidmatan awam.
Menurutnya, sistem tersebut bukan untuk menyukarkan, tetapi dilakukan demi ketelusan, keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya di negara ini.
"Kerajaan berharap langkah ini akan meningkatkan kepatuhan terhadap sistem VEP dan memastikan kenderaan asing tidak terlepas daripada tanggungjawab undang-undang ketika mereka berada di Malaysia," katanya, menurut BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.