Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 300 kanak-kanak maut, WHO siasat pengeluar ubat batuk

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 300 kanak-kanak maut, WHO siasat pengeluar ubat batuk

Gambar: iStock

Diterbitkan : 24 Jan 2023 06:55PM Dikemas Kini : 24 Jan 2023 07:03PM
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang kaitan antara syarikat pengilang sirap ubat batuk yang tercemar dengan kematian lebih 300 kanak-kanak di tiga negara, lapor Reuters.

Memetik "tahap toksin yang tidak boleh diterima" dalam ubat batuk itu, WHO sedang berusaha mendapatkan lebih banyak maklumat tentang bahan mentah khusus yang digunakan oleh enam pengeluar di India dan Indonesia untuk menghasilkan ubat yang dikaitkan dengan kematian itu.

Selain itu, WHO juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan bekalan daripada pembekal yang sama.

Sungguhpun begitu, WHO setakat ini tidak mendedahkan nama mana-mana pembekal yang sedang disiasat.

Menurut sumber Reuters, WHO juga sedang mempertimbangkan sama ada untuk menasihati keluarga di seluruh dunia untuk menilai semula penggunaan sirap ubat batuk bagi kanak-kanak selagi isu keselamatan melibatkan beberapa produk belum dapat diselesaikan.

WHO, juga jelas sumber Reuters sedang menilai bukti sama ada, atau bila, sirap ubat batuk diperlukan dari segi perubatan kepada kanak-kanak.

Kematian kanak-kanak akibat kecederaan buah pinggang akut bermula pada Julai 2022 di Gambia, diikuti kes di Indonesia dan Uzbekistan.

WHO menyatakan kematian itu dikaitkan dengan sirap batuk yang dijual secara berleluasa di kaunter dan mengandungi toksin dietilen glikol atau etilena glikol.

Setakat ini, WHO mengenal pasti enam pengeluar ubat di India dan Indonesia yang menghasilkan sirap tercemar.

Ia sudah mengeluarkan amaran kepada syarikat pengeluar, Maiden Pharmaceuticals dan Marion Biotech yang dikaitkan dengan kematian di Gambia dan Uzbekistan.

Amaran turut dikeluarkan untuk ubat batuk dari empat pengeluar Indonesia, iaitu PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical, PT Konimex serta PT AFI Pharma.

 
Sumber : AFP/LL/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa