Skip to main content

Dunia

Lebih 27 maut dekat tapak agihan bantuan di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jun 2025 05:29PM Dikemas Kini : 03 Jun 2025 10:55PM
BAITULMAKDIS: Sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera akibat serangan Israel berhampiran tapak pengagihan makanan di selatan Carikan Gaza pada Selasa (3 Jun), menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, dalam serangan terbaharu dan pertumpahan darah yang menjejas operasi bantuan itu.

Tentera Israel menyatakan bahawa tenteranya telah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan individu yang dipercayai telah menyimpang dari laluan akses yang ditetapkan berhampiran pusat pengagihkan bantuan di Rafah.

Tentera Israel mendakwa bahawa pihaknya masih menyiasat apa yang telah berlaku.

Kematian itu diumumkan beberapa jam selepas Israel mendakwa bahawa tiga askarnya terbunuh dalam pertempuran di utara Carikan Gaza, sedang tenteranya meneruskan serangan selama berbulan-bulan terhadap Hamas.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan dari utara dan selatan Gaza.

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memberitahu Reuters bahawa hospital medannya di Rafah melaporkan 184 mangsa, sambil menambah 19 daripada mereka telah diisytiharkan sudah meninggal dunia semasa tiba di hospital tersebut, dan lapan maut akibat kecederaan mereka tidak lama kemudian.

Lebih 35 pesakit memerlukan rawatan segera, tambah jurucakap itu.

Gaza Humanitarian Foundation yang disokong oleh Amerika Syarikat melancarkan tapak-tapak agihan bantuan pertama minggu lalu dalam usaha untuk mengurangkan kelaparan yang meluas dalam kalangan penduduk Gaza yang dilanda perang, yang kebanyakannya terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk melarikan diri daripada pertempuran.

Gaza Humanitarian Foundation, yang memintas usaha kumpulan-kumpulan bantuan tradisional, telah mendapat kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan amal lain yang mengatakan ia tidak mengikut prinsip kemanusiaan.

Kumpulan privet itu, yang disokong oleh Israel, mendakwa bahawa ia sudah mengagihkan 21 trak berisi bekalan makanan pada awal Selasa dan operasi bantuan itu "dijalankan dengan selamat dan tanpa insiden di tapak agihan bantuan".

Bagaimanapun, terdapat laporan mengenai pembunuhan berhampiran Rafah ketika orang ramai berkumpul untuk mendapatkan bekalan bantuan yang sangat diperlukan itu.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita