Skip to main content

Dunia

Lebih 200,000 penduduk dipindahkan susuli banjir besar di Pakistan

Lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas beberapa kawasan di wilayah Punjab, Pakistan dilanda banjir besar menyusuli hujan monsun berterusan dan pelepasan air dari empangan utama di India.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 200,000 penduduk dipindahkan susuli banjir besar di Pakistan

Kenderaan meredah jalan yang dinaiki air selepas hujan monsun dan paras air meningkat di Sialkot, wilayah Punjab, Pakistan. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 28 Aug 2025 09:50AM
  • Lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas beberapa kawasan di wilayah Punjab, Pakistan dilanda banjir besar menyusuli hujan monsun berterusan dan pelepasan air dari empangan utama di India.
  • Penguasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) menggesa orang ramai menjauhi sungai, saliran dan kawasan rendah bagi mengelakkan risiko lemas atau terperangkap.
  • Setakat ini, lebih 32,000 orang berjaya diselamatkan, menurut laporan Reuters yang memetik pegawai tempatan.
  • Para pegawai bencana menjelaskan, keadaan banjir kali ini berpunca daripada pelepasan air empangan di India apabila takungan di negara itu tidak lagi mampu menampung hujan lebat berterusan.
Dijana oleh AI
ISLAMABAD: Lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas beberapa kawasan di wilayah Punjab, Pakistan dilanda banjir besar menyusuli hujan monsun berterusan dan pelepasan air dari empangan utama di India.

Pihak berkuasa memberi amaran paras air di Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab kini berada pada tahap “amat tinggi”, sekali gus memaksa operasi menyelamat dilakukan menggunakan bot.

Beberapa daerah turut mendapatkan bantuan tentera untuk mengawal keadaan.

Menurut para pegawai Pakistan, India sebelum ini memberi amaran akan melepaskan air dari empangan huluan, yang seterusnya menyebabkan limpahan besar di kawasan paling padat penduduk di negara itu.

Sejak Jun lalu, hujan monsun dilaporkan meragut lebih 800 nyawa di Pakistan.

Penguasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) menggesa orang ramai menjauhi sungai, saliran dan kawasan rendah bagi mengelakkan risiko lemas atau terperangkap.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menegaskan, Pemerintah Persekutuan akan memberi kerjasama penuh dengan pemerintah negeri, khususnya di bandar-bandar utama seperti Gujarat, Sialkot dan Lahore.

Ketua Jabatan Meteorologi Pakistan pula memaklumkan, Sialkot merekodkan jumlah curahan hujan dalam tempoh 24 jam melepasi paras tertinggi sejak 49 tahun lalu, menyebabkan rumah, kenderaan dan bangunan tenggelam.

Menteri Perancangan Persekutuan turut memberitahu, ramai penduduk terperangkap akibat banjir, manakala pasukan penyelamat terus bergerak dari rumah ke rumah memindahkan mangsa serta haiwan ternakan menggunakan bot.

Setakat ini, lebih 32,000 orang berjaya diselamatkan, menurut laporan Reuters yang memetik pegawai tempatan.

BBC yang mengikuti operasi menyelamat di daerah Kasur, berhampiran sempadan India melaporkan, Sungai Sutlej melimpah sehingga menenggelamkan rumah dan meruntuhkan benteng perlindungan.

Bagaimanapun, ada penduduk yang enggan meninggalkan rumah meskipun diarah berpindah.

Seorang penduduk, Nadeem Ahmad berkata, dia sudah beberapa kali melalui proses pemindahan sebelum ini dan tidak lagi mampu menanggung kos untuk berpindah.

“Saya ada puluhan ekor lembu dan bekalan makanan ternakan. Kami tidak boleh tinggalkan semuanya,” katanya.

Dalam pada itu, ada juga mangsa memilih untuk berlindung di pusat pemindahan sementara atau tinggal bersama saudara-mara di kawasan lebih tinggi.

BBC turut melaporkan keadaan menyayat hati apabila sebuah bot membawa lebih 20 mangsa, termasuk seorang wanita yang mendukung bayi berusia dua bulan, melalui arus deras berwarna coklat.

Banjir kali ini memberi kesan besar kepada keluarga miskin di Pakistan, sebuah negara di mana lebih 40 peratus penduduk hidup di bawah paras kemiskinan.

Ramai yang menolak arahan berpindah kerana bimbang kehilangan harta benda, biarpun sedar tindakan itu boleh meragut nyawa.

Di sebuah perkampungan kira-kira dua jam dari Lahore, separuh daripada 3,000 penduduk dilaporkan enggan berpindah.

Para pegawai bencana menjelaskan, keadaan banjir kali ini berpunca daripada pelepasan air empangan di India apabila takungan di negara itu tidak lagi mampu menampung hujan lebat berterusan.

Dalam pada itu, India juga berdepan bencana sama apabila hujan monsun melampau menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.

Pada Selasa (26 Ogos), sekurang-kurangnya 30 maut dalam kejadian tanah runtuh di laluan menuju ke kuil Hindu terkenal, Vaishno Devi, di Kashmir yang ditadbir India.
Sumber : Agensi berita/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita