Lebih 20,000 banjiri Kenduri Rakyat raikan pasangan Bella Astillah dan Syed Saddiq
Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat mula beratur di Padang Merdeka di Kota Kinabalu seawal pukul 5.30 pagi pada Sabtu (31 Okt) untuk menghadiri Kenduri Rakyat meraikan pasangan selebriti, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama isterinya, Bella Astillah, tampil anggun mengenakan busana tradisional suku kaum Kedayan Sabah. (Gambar: Bernama)
- More than 20,000 people attended Kenduri Rakyat at Padang Merdeka in Kota Kinabalu on Saturday, 31 October, to celebrate Bella Astillah and Syed Saddiq.
- Visitors began queuing as early as 5.30am, while the couple arrived at 1pm; they had married on 10 October at Menara Merdeka 118 in Kuala Lumpur.
- Traditional attire from the Bajau, Kadazan, Dusun, Murut and other ethnic groups reflected the diversity of Sabah’s heritage and the harmony among its communities at the event.
- Cynthia D Baga and Esther Glorie Leow described the event as an opportunity to bring together people of different ages and backgrounds; Minister Mustapha Sakmud also attended.
- Lebih 20,000 orang menghadiri Kenduri Rakyat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, pada Sabtu, 31 Oktober, untuk meraikan Bella Astillah dan Syed Saddiq.
- Pengunjung mula beratur seawal 5.30 pagi, sementara pasangan itu tiba pada 1.00 tengah hari; mereka telah berkahwin pada 10 Oktober di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
- Busana tradisional Bajau, Kadazan, Dusun, Murut dan etnik lain mencerminkan kepelbagaian warisan serta keharmonian masyarakat Sabah dalam majlis tersebut.
- Cynthia D Baga dan Esther Glorie Leow menyifatkan acara itu sebagai peluang merapatkan masyarakat pelbagai umur dan latar belakang; Menteri Mustapha Sakmud turut hadir.
Kehadiran lebih 20,000 pengunjung menjadikan padang di tengah-tengah bandar raya tersebut bertukar menjadi lautan manusia.
Kehadiran sebahagian pengunjung yang mengenakan busana tradisional pelbagai etnik menyerlahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di Sabah.
Antara yang mencuri perhatian ialah pengunjung berbusana tradisional etnik Bajau Semporna, Bajau Sama, Kadazan, Dusun Tindal, Dusun Kujau, Murut, Bugis, Bidayuh dan Lundayeh yang memperlihatkan keindahan warisan budaya masing-masing.
Kepelbagaian warna, corak dan reka bentuk busana tradisional tersebut bukan sahaja menambah seri majlis, malah menjadikan Padang Merdeka seolah-olah pentas peragaan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Pengunjung, Cynthia D Baga, berkata keunikan Kenduri Rakyat itu bukan hanya terletak pada kehadiran ribuan pengunjung, malah kerana majlis itu juga menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian budaya dan warisan etnik masyarakat Sabah menerusi busana tradisional.
"Kita dapat melihat pelbagai pakaian tradisional etnik Sabah dalam satu majlis. Inilah keunikan Sabah, walaupun berbeza bangsa dan budaya, kita tetap dapat berkumpul dan meraikan sesuatu majlis bersama-sama," katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pengunjung, Esther Glorie Leow, menyifatkan Kenduri Rakyat tersebut sebagai acara istimewa kerana menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang untuk bersama-sama meraikan pasangan itu.
"Amat seronok melihat begitu ramai berkumpul untuk meraikan sambutan istimewa ini. Lebih bermakna apabila melihat ramai dengan bangga mengenakan pakaian tradisional mereka, sekali gus menampilkan keindahan kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah," katanya.
Bella, 32 tahun, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, merupakan anak kelahiran Sandakan, Sabah.
Beliau dan Syed Saddiq, 33 tahun, tiba di pekarangan Padang Merdeka pada pukul 1.00 tengah hari. Pasangan tersebut selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.