Skip to main content

Dunia

Lebih 2,000 tahanan politik dibebas junta Myanmar sempena Hari Vesak

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Junta Myanmar memberi pengampunan kepada lebih 2,000 tahanan politik sempena sambutan Hari Vesak, lapor AP.

Khabar pembebasan tahanan itu disambut oleh anggota keluarga masing-masing yang sejak awal sudah mengerumuni pekarangan penjara untuk menantikan detik bermakna itu.

Kesemua tahanan itu dipenjara kerana didakwa menentang pemerintah dan pihak berkuasa. Tentera Myanmar sejak Februari 2021 sudah menangkap ribuan peserta tunjuk perasaan dan aktivis, sekali gus dilihat sebagai noktah kepada eksperimentasi demokrasi di negara itu.

Pengampunan itu diberikan kepada 2,153 tahanan, sempena sambutan bulan penuh Kasone, iaitu festival yang mengingati kelahiran Buddha.

Undang-undang berkenaan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Di Penjara Insein di Yangon, puluhan anggota keluarga berkumpul di hadapan pintu utama penjara sejurus pengumuman itu.

Sebuah bas berwarna kuning yang membawa bekas tahanan bergerak keluar dari pintu pagar penjara terus dikerumuni orang ramai bersama kertas yang bertulis nama ahli keluarga masing-masing, sambil mengharapkan ahli keluarga mereka itu antara yang berada di dalam kumpulan yang dibebaskan itu.

Ada anggota keluarga mendakwa pihak junta turut menahan individu yang tidak bersalah, dan langsung tidak terlibat dalam sebarang tunjuk perasaan atau menentang junta.

Pada masa sama, pihak junta dalam satu kenyataan menyatakan, pengampunan itu adalah “demi ketenangan fikiran dan atas sebab kemanusiaan.”

“Mereka yang mengulangi kesalahan akan ditangkap dan perlu meneruskan baki tempoh hukuman penjara berserta tempoh tambahan.”

Myanmar lazimnya memberikan pengampunan kepada ribuan banduan setiap kali ketibaan hari cuti umum atau perayaan keagamaan Buddha.
Sumber : AP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita