Lebih 200 maut di Iran akibat serangan Israel-Amerika: Penyiar negara Iran
BEIRUT: Lebih 200 orang terkorban di seluruh Iran akibat serangan Israel dan Amerika Syarikat, lapor televisyen negara Iran, yang memetik Bulan Sabit Merah.
Bulan Sabit Merah Iran pada Sabtu (28 Feb) malam menyatakan bahawa seramai 747 lagi cedera dalam serangan oleh Amerika dan Israel terhadap Iran.
Pertubuhan itu menyatakan “24 (daripada 31) wilayah Iran terjejas dan Bulan Sabit Merah berada dalam keadaan berjaga-jaga”, dalam kenyataannya yang diterbitkan agensi berita ISNA.
Ini merupakan angka korban rasmi pertama Iran menyusuli serangan tersebut.
Awal hari itu, Iran menggesa mesyuarat tergempar badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan dakwaan “tidak berasas” oleh Amerika dan Israel terhadap program atomnya, yang digunakan sebagai salah satu daripada beberapa asas untuk melaksanakan tindakan ketenteraan terhadapnya.
“Menyusuli tindakan keganasan berterusan oleh rejim Amerika dan Israel ... (Iran) menggesa satu mesyuarat luar biasa segera” oleh Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menurut misi Iran ke agensi di Vienna itu menerusi platform X bersama gambar surat permohonan rasminya.
SETIAUSAHA AGUNG PBB KECAM PENINGKATAN KETEGANGAN
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengecam “peningkatan ketegangan” di Timur Tengah menyusuli serangan Amerika dan Israel ke atas Iran.
“Saya menggesa supaya permusuhan dihentikan segera dan ketegangan diredakan,” kata Encik Guterres dalam kenyataannya, sambil menyatakan bahawa serangan tersebut - termasuk tindak balas Iran - menjejas keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Setiausaha Agung itu dijadual menyampaikan ucapan lanjut pada mesyuarat Majlis Keselamatan di New York lewat hari itu.
Perancis, China, Rusia, Bahrain dan Colombia masing-masing mengetuai usaha untuk mengadakan mesyuarat luar biasa pada Sabtu (28 Feb), menurut sumber diplomatik.
Misi Rusia ke PBB berkata ia membuat permohonan itu berhubung “tindakan keganasan bersenjata tanpa provokasi oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran”.
“Semasa mesyuarat Majlis Keselamatan itu, kami akan meminta agar Amerika Syarikat dan Israel segera menghentikan tindakan haram dan yang meningkatkan ketegangan, dan beralih ke arah huraian politik dan diplomatik,” tambahnya dalam kenyataannya.
Dalam suratnya kepada PBB, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menggesa Majlis Keselamatan mengambil langkah “segera” untuk menghentikan apa yang disifatkannya sebagai keganasan haram oleh Amerika dan Israel.
Encik Araghchi berkata majlis itu mesti “menangani tindakan keganasan rejim Amerika dan Israel” dan “mengambil langkah perlu dan segera untuk menghentikan penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang ini.”
“Amerika Syarikat dan rejim Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya dan langsung terhadap segala akibat susulan, termasuk sebarang peningkatan yang timbul daripada tindakan haram mereka,” tambahnya dalam surat itu.
Amerika Syarikat dan Israel pada Sabtu (28 Feb) melancarkan beberapa serangan dengan memetik “ancaman” daripada Iran, yang bertindak balas dengan melancarkan bedilan peluru berpandu ditujukan ke negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan Amerika, dan ke arah Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.