Lebih 200 banduan lolos dari penjara Pakistan susuli gempa bumi
Kaca pecah di dalam premis penjara daerah Malir selepas berpuluh-puluh banduan melarikan diri dari penjara di pinggir Karachi, Pakistan pada 3 Jun 2025. (Foto: REUTERS/Akhtar Soomro)
Beratus-ratus banduan dibenarkan memasuki kawasan pekarangan penjara disebabkan oleh gegaran itu, kata Menteri Undang-Undang wilayah tersebut, Zia-ul-Hasan Lanjar kepada para wartawan di tempat kejadian.
"Keadaan menjadi cemas di sini disebabkan oleh gegaran gempa bumi," kata Encik Lanjar sambil menambah sukar untuk mengawal sehingga 1,000 banduan.
Kejadian itu berlaku sebelum tengah malam pada Isnin (2 Jun) dan berlarutan sehingga awal pagi Selasa, katanya.
Menurut polis, para banduan merampas pistol daripada kakitangan penjara, menyebabkan berlakunya kejadian tembak-menembak, dan kemudian memaksa pintu pagar utama dibuka.
Pada Selasa (3 Jun), seorang wartawan Reuters di tempat kejadian melihat kaca pecah dan peralatan elektronik yang rosak di dalam penjara. Sebuah bilik mesyuarat, untuk banduan bertemu muka dengan keluarga mereka, telah digeledah. Ahli keluarga yang cemas berkumpul di luar penjara pada Selasa.
Ia adalah salah satu pelolosan penjara terbesar pernah berlaku di Pakistan, kata Encik Lanjar. Penjara di daerah Malir di Karachi, bandar terbesar di Pakistan, terletak di kawasan perumahan dan perindustrian yang serba miskin.
Para banduan melarikan diri melalui kawasan itu sepanjang malam, ada yang berkaki ayam, dikejar polis, dengan polis berjaya menangkap sesetengah banduan dan memasukkan mereka ke dalam van polis, menurut rakaman stesen TV tempatan.
Ketua Polis wilayah tersebut, Ghulam Nabi Memon berkata kebanyakan banduan yang meloloskan diri terlibat dalam jenayah seperti penagihan dadah.
Sekurang-kurangnya seorang banduan terbunuh dalam kejadian tembakan itu, yang turut mencederakan tiga kakitangan penjara, katanya.
Murad Ali Shah, Ketua Menteri wilayah tersebut, berkata bahawa kira-kira 80 banduan setakat ini berjaya ditangkap, sambil menambah bahawa ia adalah satu kesilapan bagi pihak penjara untuk membenarkan banduan keluar dari kurungan masing-masing. Beliau turut memberi amaran kepada mereka yang masih berleluasa supaya menyerah diri, atau menghadapi tuduhan lebih serius kerana melarikan diri daripada hukuman penjara.
"Tuduhan jenayah kecil akan menjadi kes besar seperti pengganasan," kata Encik Shah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.