Skip to main content

Dunia

Lebih 20 orang cedera susuli gempa bumi kuat di Jepun

Sekurang-kurangnya 24 orang cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda kawasan timur laut Jepun pada Isnin malam (8 Dis), mencetuskan amaran tsunami dan kebimbangan terhadap gegaran susulan yang berpotensi membahayakan.
Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 20 orang cedera susuli gempa bumi kuat di Jepun
Rak buku dan dokumen yang tumbang akibat gempa bumi kelihatan di biro Kyodo News di Hakodate, Hokkaido, Jepun. (Gambar: REUTERS)
TOKYO: Sekurang-kurangnya 24 orang cedera selepas satu gempa bumi kuat melanda kawasan timur laut Jepun pada Isnin malam (8 Dis), mencetuskan amaran tsunami dan kebimbangan terhadap gegaran susulan yang berpotensi membahayakan.

Gempa bumi berukuran magnitud 7.6 itu berlaku pada pukul 11.15 malam waktu tempatan di luar pesisir Wilayah Aomori, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Gegaran kuat dirasai sejauh Hokkaido dan Iwate, dengan beberapa kawasan mencatatkan intensiti 6 atas pada skala seismik Jepun, tahap kedua tertinggi yang menunjukkan gegaran sangat kuat.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa lebih 20 individu mengalami kecederaan, termasuk patah tulang dan luka akibat objek jatuh.

Kebanyakan mangsa dilaporkan berada di dalam rumah atau bangunan ketika gempa berlaku.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

JMA mengeluarkan amaran tsunami sejurus selepas gempa, memberi amaran kemungkinan ombak setinggi tiga meter.

Gelombang tsunami setinggi 40 sentimeter dikesan di beberapa kawasan pesisir termasuk di Hachinohe dan Kushiro.

Walaupun amaran tsunami ditarik balik beberapa jam kemudian, pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar terus berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan.

Lebih 50,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat perlindungan sementara, manakala perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dan beberapa laluan penerbangan domestik dihentikan buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdana Menteri Jepun menggesa rakyat agar kekal tenang dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan.

“Keselamatan nyawa adalah keutamaan kami. Pasukan penyelamat telah digerakkan ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa dan menilai kerosakan,” katanya dalam kenyataan media.

Jepun, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, sering mengalami gempa bumi.

Kejadian itu mengimbau kembali tragedi gempa dan tsunami besar pada tahun 2011 yang mengorbankan lebih 18,000 nyawa dan mencetuskan krisis nuklear di Fukushima.

Pihak berkuasa kini sedang memantau situasi dengan rapi dan memberi amaran bahawa gegaran susulan berkemungkinan berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Para penduduk dinasihatkan untuk menyimpan bekalan kecemasan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita