Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 20 juta rakyat M'sia tentukan siapa bentuk kerajaan

Anggaran Waktu Membaca:
 Lebih 20 juta rakyat M'sia tentukan siapa bentuk kerajaan

(Dari atas, kiri) Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan/Fatihah Kamaruddin, Facebook/Zahid Hamidi)

Diterbitkan : 19 Nov 2022 06:57AM Dikemas Kini : 19 Nov 2022 08:01AM

KUALA LUMPUR: Seramai 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pengundi berdaftar di Malaysia akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu (19 Nov) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat untuk membentuk kerajaan baru bagi tempoh lima tahun akan datang.

Jumlah yang layak keluar mengundi pada PRU15 naik ketara berbanding dengan PRU14 yang mana jumlah pengundi hampir mencecah 15 juta.

Pengundi muda yang berusia 18 tahun hingga 20 tahun, membentuk kira-kira 1.4 juta pengundi baru yang buat pertama kalinya layak menentukan kepimpinan negara.

Berikut beberapa lagi fakta mengenai PRU15.

Perdana Menteri, Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubar pada 10 Okt.

Suruhanjaya Parlimen Pilihan Raya (SPR) tetapkan 5 Nov sebagai Hari Penamaan Calon dan 19 Nov sebagai Hari Mengundi.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 Nov.

Sebanyak 8,958 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara bermula 8.00 pagi hingga 6.00 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pengundian awal dilaksanakan pada Selasa (15 Nov) di 970 saluran di 578 pusat undi dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi yang melibatkan kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

PRU-15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang dan Perlis. Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Pilihan raya kali ini juga mencatat sejarah apabila seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam rekod PRU negara.

Pengundian bagi kerusi parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan setelah salah seorang calonnya meninggal dunia.

Hampir kesemua kawasan undi parlimen ditandingi lebih daripada dua calon.

Pertandingan empat penjuru, paling banyak berlaku, di 82 kawasan undi.

Malahan di kawasan undi parlimen Batu di wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10 calon bertanding.

Tiga gabungan utama parti-parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) akan berentap sesama mereka dan masing-masing yakin dapat menang sekurang-kurangnya majoriti mudah 111 kerusi untuk membentuk sendiri kerajaan.

Namun sesetengah pengamat politik percaya hal itu tidak akan terjadi, antaranya kerana perpecahan dalam undi orang Melayu.

Menurut jumlah calon kerusi Parlimen, PH mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti BN (178), PN (149) dan Pejuang (116).

Pada PRU-15 ini juga jumlah calon Bebas yang bertanding ialah seramai 108 orang, sekali gus menjadikannya jumlah calon Bebas teramai dalam sejarah PRU negara. Pada PRU-13 dan PRU-14 masing-masing merekodkan 79 dan 24 calon kerusi Parlimen.

Selepas menang besar dalam pilihan raya DUN Johor dan Melaka tahun ini, BN yang diterajui UMNO, yakin dapat menang sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk semula kerajaan di bawah kepimpinan PM Ismail Sabri Yaakob.

Gabungan parti paling lama itu juga menetapkan sasaran untuk memerintah semula di Perak, Pahang dan Perlis.

Selain itu BN berharap, Johor dapat kembali menjadi kubu utamanya.

Landskap politik Malaysia menjadi agak kucar-kacir selepas PRU ke-14 yang menyaksikan kepimpinan negara itu diterajui oleh tiga perdana menteri daripada tiga pakatan berlainan sepanjang penggal Parlimen ke-14.

PH juga mahu kembali memerintah Malaysia.

Kerajaan PH yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2018 hanya bertahan 22 bulan berikutan tindakan sekumpulan Ahli Parlimennya berpaling tadah dalam apa yang disebut sebagai Langkah Sheraton.

Satu lagi matlamat PH, untuk menguasai negeri Perak.

Sehubungan dengan itu Pengerusinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim meninggalkan parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan, untuk bertanding di kawasan undi Tambun, di Perak.

Beberapa lagi nama besar juga bertanding di Perak termasuk Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mempertahankan kerusi Bagan Datuk.

Di samping hendak menguasai Dewan Rakyat, PN pimpinan Muhyiddin Yassin pula yakin dapat menakluki Perlis.

Salah seorang tokoh utama Langkah Sheraton itu yakin, PN dapat mencapai kedua-dua matlamat tersebut.

JANJI PARTI

Selepas tempoh 14 hari berkempen, faktor yang menjadi pertimbangan utama pengundi dalam menentukan undi mereka melibatkan keadaan ekonomi, terutamanya kos sara hidup yang tinggi dan kestabilan politik, keharmonian dan perpaduan serta pembasmian rasuah.

BN: Kestabilan dan Kemakmuran

BN merupakan gabungan politik yang paling lama wujud dalam sejarah politik Malaysia dan memegang rekod sebagai kerajaan yang paling lama memerintah, bermula sejak negara itu merdeka dalam tahun 1957,
sehinggalah ditewaskan pada PRU-14.

Untuk PRU15, BN mengumumkan kestabilan dan kemakmuran sebagai tema utama manifesto mereka.

PH: Reformasi

Selain BN, PH menjadi kerajaan selama tempoh 22 bulan menerusi PRU dan menekankan reformasi politik serta ekonomi melalui pentadbiran yang cekap dan berintegriti.

Strategi mereka untuk berkempen isu-isu ekonomi dipercayai mampu menarik sokongan pengundi muda, namun sukar memikat kumpulan Melayu konservatif.

PN: Perpaduan Melayu/Islam, tolak DAP

Masyarakat Melayu kini mempunyai dua pilihan dominan, PN atau BN berbanding PH yang didominasi bukan Melayu.

Suasana dalam PRU15 agak lesu berbanding 2018, apabila rakyat menunjukkan kemarahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, di atas isu hangat seperti skandal 1MDB dan pelaksanaan sistem Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST).

Kini semuanya sudah tiada lagi, dengan Najib sudah berada di Penjara Kajang dan isu bersangkutan dengan beliau sudah tidak lagi hangat dibincangkan, begitu juga GST yang sudah tidak kedengaran lagi.

USAHA TERAKHIR TAMBAT HATI PENGUNDI

Berbaki kurang daripada 24 jam sebelum hari mengundi, tiga gabungan politik utama iaitu PH, BN dan PN membuat pecutan terakhir sebelum hari mengundi pada Sabtu.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim antara lain berjanji untuk mengurangkan saiz kabinet kepada separuh jika PH diberi mandat mentadbir negara.

Dalam usaha meyakinkan rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan, Encik Anwar juga berjanji gaji menteri akan dikurangkan separuh.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam perutusannya pula mengulangi tekad BN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan membawa kemakmuran kepada negara jika diberi mandat sekali lagi.

Kata Encik Zahid, BN telah membentangkan 99 Perancangan Amal dan Usaha (Padu), sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi dan memilih PN.

Dalam perutusannya, Encik Muhyiddin mengimbas semula pentadbirannya ketika menangani pandemik COVID-19 seperti pelaksanaan program vaksinasi, bantuan tunai, bakul makanan dan moratorium khas kepada rakyat.

Presiden PEJUANG yang juga mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak ketinggalan merayu pengundi menolak tiga gabungan parti utama pada PRU15 yang didakwa terbabit dalam penyalahgunaan kuasa, rasuah dan merosakkan negara, demi kepentingan peribadi.

Beliau menegaskan, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) wajar ditolak kerana langsung tidak menunjukkan kesungguhan mendaulatkan bangsa, agama dan negara.

Dr Mahathir berkata, PRU15 adalah PRU terakhir baginya dan bercadang untuk menyelesaikan masalah tempatan seperti isu feri dan sampah yang tidak sempat dilakukannya sebelum terpaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Persiapan rapi daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memainkan peranan amat penting dalam mengawal proses undi pada Sabtu.

Selain daripada faktor bencana banjir, turut dibimbangi penularan pandemik COVID-19 yang mungkin akan mencetuskan kelompok baru sekiranya tidak dikawal dengan betul.

Perdana Menteri, Malaysia Ismail Sabri Yaakob berharap proses pengundian PRU15, berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini.

Beliau juga berharap momentum keharmonian sepanjang tempoh berkempen yang menyaksikan tiada kejadian kekecohan besar berlaku, berkekalan sehingga tamat proses pengumuman keputusan dan pasca pilihan raya.

Sumber : Agensi berita/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan