Lebih 20 anggota, pegawai kanan polis M'sia disyaki sekongkol dengan penjenayah
Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang diambil tindakan setelah disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dan penipuan online.

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang diambil tindakan setelah disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dan penipuan online.
Kes itu turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan polis, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu ditukarkan.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika mengesahkan perkara tersebut hari ini (16 Nov) berkata langkah menukarkan anggota dan pegawai terlibat adalah tindakan pertama pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan penjenayah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pegawai PDRM yang akan dikenakan tindakan selepas ini berhubung perkara tersebut.
“Sudah diambil tindakan. Tindakan pertama ialah menukarkan mereka dari tempat sensitif. Tindakan kedua sekiranya ada bukti-bukti lain kita akan ambil tindakan selanjutnya.
“Tidak silap saya ada 20 (orang). Akan keluar lagi (pertukaran). Tak ada apa yang sensasinya jika perkara seperti ini. Kalau berlaku, kita siasat. Bila ada faktanya, kita ambillah tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini (16 Nov).
Beliau ditemui selepas melakukan kunjungan ke atas bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Encik Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan disaring oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuh di Bukit Aman bagi memastikan mereka yang bakal ditempatkan di bahagian 'panas’, mempunyai integriti yang tinggi.
Kes membabitkan pegawai kanan polis itu dikesan menyusuli penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh SPRM bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengubah atau ‘mencuci wang haram’ daripada sindiket gelap dan pengendali judi dalam talian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.