Skip to main content

Dunia

Lebih 19 juta jemaah umrah kunjungi Masjidil Haram sepanjang 20 hari pertama Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi melalui pengurusan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berusaha menyediakan khidmat yang bermutu kepada lebih 19 juta jemaah yang mengerjakan umrah sepanjang 20 hari Ramadan di Masjidil Haram.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), statistik yang dikeluarkan jabatan itu pada Rabu (12 Apr) menunjukkan bilangan jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram mencecah 19,608,573 orang setakat sehingga Selasa (11 Apr).

Timbalan Ketua Am bahagian pengukuran mutu kepimpinan kreativiti dan kecemerlangan institusi di jabatan itu, Samir Saad Al Suwehry berkata pihaknya menumpukan sebahagian besar usaha untuk menyediakan khidmat bermutu kepada para jemaah.

Beliau berkata khidmat itu termasuk pengagihan 1,045,104 botol air Zamzam berjumlah 30,257,874 liter, proses pembersihan menggunakan 655,990 liter cecair pembasmi kuman untuk mensterilkan permaidani dan sejadah.

Proses pembersihan dan pembasmian kuman di Masjidil Haram juga termasuk penyediaan 105,810 liter sabun pencuci tangan, 103,625 liter cecair pembasmi kuman yang diagihkan oleh robot, 100,535 liter cecair Biocare, 653,360 liter cecair pembasmi kuman permukaan, selain telah menggunakan 2,600,000 liter pembasmi kuman permukaan, katanya.

Selain itu, jabatan tersebut juga menyediakan khidmat sosial dan melibatkan sumber manusia yang memberi manfaat kepada 901,951 jemaah.

Encik Samir berkata usaha itu adalah arahan daripada Ketua Pengarah jabatan itu, Sheikh Dr Abdul Rahman Al Sudais yang mahu memanfaatkan keupayaan manusia dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju dalam menyediakan khidmat bermutu kepada jemaah terutama sepanjang Ramadan.
Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita