Skip to main content

Dunia

Lebih 170 pelajar terjejas dalam 2 insiden keracunan makanan di bawah program makan percuma di Indonesia

Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat dua kes keracunan makanan yang menjejas lebih 170 pelajar di bawah program makanan berkhasiat percuma negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 170 pelajar terjejas dalam 2 insiden keracunan makanan di bawah program makan percuma di Indonesia

Para pelajar di sebuah sekolah rendah di Banten, Indonesia menikmati hidangan yang diedarkan di bawah program makan percuma pada 6 Januari 2025. (Gambar fail: AP/Tatan Syuflana)

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat dua kes keracunan makanan yang menjejas lebih 170 pelajar di bawah program makanan berkhasiat percuma negara itu. Kes-kes tersebut merupakan yang terkini bagi program tersebut, yang dilancarkan pada Januari. Sekurang-kurangnya enam kes keracunan makanan lain pernah dikaitkan dengan program berkenaan sebelum ini.

Projek nasional tersebut – sebahagian daripada janji utama bagi kempen Presiden Prabowo Subianto – bertujuan untuk meningkatkan mutu sumber daya manusia negara itu dalam jangka panjang dengan memperbaiki khasiat dalam hidangan kanak-kanak dan memupuk pencapaian pendidikan yang lebih baik.

Kejadian terbaharu yang dilaporkan secara meluas itu berlaku di wilayah Cianjur, Jawa Barat, di mana sekurang-kurangnya 165 pelajar dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas memakan bungkusan makanan percuma pada Isnin lalu (21 Apr), menurut laporan media tempatan.

“Kami menjalankan pemeriksaan ke atas dua sekolah yang mempunyai keseluruhan 972 pelajar, 165 daripada mereka jatuh sakit,” kata Ketua Bahagian Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Pejabat Kesihatan Jawa Barat, Rochady Hendra pada Sabtu, seperti yang dipetik Detik.

Seorang pelajar berusia 16 tahun dari Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 1 Cianjur berkata dia menyedari terdapat “bau yang tidak menyenangkan” daripada ayam yang dicarik, salah satu lauk yang disediakan dalam program makan berkhasiat pada pagi Isnin lalu.

“Beberapa jam selepas makan, saya mula rasa pening dan muntah,” kata M Raihan, 16 tahun, kepada Tempo.

Pada Khamis, Kompas melaporkan bahawa 78 pelajar dari dua sekolah – MAN 1 Cianjur dan Sekolah Menengah Pertama (SMP) PGRI 1 Cianjur – menunjukkan gejala loya, muntah dan cirit-birit selepas memakan bungkusan makanan tersebut.

Jumlah tinggi pesakit akibat kes keracunan makanan itu memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan kecemasan di kawasan berkenaan, menurut Jakarta Post.

Agensi Kesihatan Jawa Barat telah menganalisis beberapa sampel makanan dari dapur serta muntah pesakit bagi menilai kemungkinan pencemaran mikrob, manakala Agensi Kesihatan Cianjur pula menggantung pengeluaran makanan di unit perkhidmatan dapur yang menyediakan hidangan berkhasiat percuma itu.

“Keputusan ujian makmal bagi mengesan kemungkinan pencemaran mikrob masih belum dikeluarkan,” kata Ketua Agensi Pemakanan Kebangsaan, Dadan Hindayana kepada Kompas pada Isnin semasa memberikan perkembangan terkini.

Encik Dadan juga berkata bahawa punca sebenar kejadian masih belum jelas dan masih dalam siasatan.

Sebelum ini, beliau turut menyatakan bahawa latihan dan kursus penyegaran akan diberikan kepada pengendali makanan bagi meningkatkan kemahiran mereka, menurut laporan Jakarta Post.

Beliau turut menambah bahawa dulang plastik yang digunakan untuk membungkus makanan berkhasiat percuma itu mungkin menyumbang kepada kes keracunan makanan yang dialami 165 pelajar berkenaan.

"Di kedua-dua sekolah itu, dulang makanan diperbuat daripada plastik, oleh sebab itu kami telah meminta penggantian segera," katanya kepada Kompas pada Khamis.

Selain kebimbangan berkaitan dulang makanan yang digunakan, Encik Dadan turut mengarahkan ketua unit perkhidmatan dapur di Cianjur untuk memisahkan aliran keluar masuk bahan makanan.

Memandangkan punca sebenar keracunan di Cianjur masih belum dikenal pasti, Encik Dadan turut memaklumkan bahawa siasatan yang dijalankan terjejas kerana makanan yang tidak habis telah dibuang pihak sekolah.

Selain menjalankan ujian makmal terhadap sampel makanan yang masih ada di unit perkhidmatan dapur, agensinya juga turut memeriksa sumber air dan peralatan yang digunakan, sambil menekankan bahawa ia “selamat untuk digunakan.”

Susulan kejadian keracunan makanan terbaharu itu, terdapat gesaan daripada pertubuhan masyarakat sivil agar pemerintah menggantung program makanan berkhasiat percuma tersebut.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita