Skip to main content

Dunia

Lebih 1.4 juta penduduk Indonesia mahu mudik Hari Raya naik WHOOSH

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1.4 juta penduduk Indonesia mahu mudik Hari Raya naik WHOOSH

Gambar: AFP/Yasuyoshi CHIBA

JAKARTA: Lebih 1.4 juta penduduk Indonesia dijangka mahu menggunakan khidmat kereta api laju baharu, WHOOSH, bagi mudik Hari Raya.

Perangkaan itu didedahkan dalam satu tinjauan Agensi Dasar Pengangkutan. Sebab utama responden ialah perjalanan Kereta Api Laju Jakarta Bandung itu dapat mengurangkan masa perjalanan yang lama.

Lebih 70 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia dijangka melakukan tradisi mudik iaitu pulang ke kampung semasa Lebaran nanti.
Antara mereka adalah Dini Rahmadani yang akan pulang ke kampung beliau di Bandung, bandar ketiga terbesar Indonesia.

Buat pertama kalinya, Dini akan mudik denhgan menaiki WHOOSH.

"Biasanya naik kereta tapi oleh kerana ada WHOOSH, agar tidak berdepan kesesakan, aku pakai WHOOSH. Sebelum ini aku pulang naik kereta, kesesakan selama lapan jam dan rasa sangat penat di jalan raya," kata beliau.

WHOOSH PERTINGKAT OPERASI SEMPENA SYAWAL; HARGA TIKET BAS JUGA NAIK

WHOOSH meliputi perjalanan sekitar 142 kilometer dan mengambil masa 46 minit.

Para pegawai berkata kapasiti maksimum WHOOSH semasa musim cuti adalah kira-kira 300,000 orang.

Pengendali kereta api laju itu perlu menambah jumlah perjalanan selain memudahkan penumpang kali pertama yang mungkin tidak biasa dengan pelbagai proses keberangkatan.

Pengurus Komunikasi Korporat KCIC Emir Monti berkata: "Dari sisi sistem tiket yang berbeza, menggunakan kad yang dimasukkan, kemudian waktu tunggu yang hanya dua hingga tiga minit, kemudian harus beratur.

"Ini tentunya bberbeza dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang lain. Kemudian tentang aturan bagasi juga kita terus membantu dan peraturan keamanan."
Bagi perjalanan menggunakan bas misalnya di terminal Pulo Gebang di timur Jakarta, harga tiket melambung hingga 35 peratus bergantung destinasi dituju.

Syarikat Pengangkutan Siliwangi Antar Nusa sebagai contoh menaikkan harga tiket ke Pekanbaru di wilayah Riau sebanyak 12 peratus.

Pun begitu, harga yang lebih mahal tidak menghambat penduduk yang ingin mudik Hari Raya.

"Sama sahaja bagi saya, tetap ramai penumpang. Sama tahun lepas juga, ramai dan sekarang juga ramai begitu," kata seornag pemandu Pengangkutan Siliwangi Antar Nusa, Muhammad Afdal.

PERJALANAN KERETA API MASIH POPULAR

Tinjauan Kementerian Pengangkutan Indonesia mendedahkan lebih 20 peratus penduduk Indonesia masih memilih untuk mudik menaiki kereta api.

Lantaran itu, pihak berkuasa menambah 344 perjalanan dari dua stesen di Jakarta Pusat untuk memenuhi permintaan semasa Syawal nanti.

Khumaira Athiyyah, seorang penduduk Jakarta, berkongsi: "Saya sangat teruja kerana kakak saya tinggal jauh dari saya dan pulang nanti boleh kumpul sama anak saudara.

"Anak saudara saya kebetulan ramai sangat jadi ini satu detik yang jarang-jarang dapat libur panjang sebegini juga."
Jumlah penduduk yang diramalkan mudik tahun ini dijangka naik lebih 55 peratus berbanding tahun lalu.

Pihak berkuasa menambah mereka komited untuk melaksanakan dasar-dasar berkesan untuk mencegah kesesakan di hab-hab pengangkutan serta jalan raya.

Ini demi memastikan penduduk dapat menikmati perjalanan yang lancar ketika pulang ke kampung.
Sumber : CNA/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita