Lebih 1,300 kakitangan dikerah untuk bersihkan lokasi terjejas rusuhan di Indonesia
Jabatan Alam Sekitar Jakarta (DLH) mulakan operasi pembersihan di semua lokasi yang terjejas akibat rusuhan di ibu kota tersebut pada Ahad (31 Ogos).
Pekerja majlis perbandaran membersihkan runtuhan di pintu tol yang terbakar susulan demonstrasi besar-besaran membantah pemerintah Indonesia. (Gambar: Reuters)
Ketua DLH Asep Kuswanto berkata operasi pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh, namun petugas bersiap sedia sekiranya terdapat operasi pembersihan susulan, seperti dilapor Astro Awani.
“Seluruh lokasi sudah kita bersihkan secara keseluruhan. Meski demikian, petugas kami masih siap sedia sekiranya ada sampah susulan,” katanya seperti dipetik oleh agensi berita Antara pada Isnin (1 Sep), seperti dinukil Astro Awani.
Dalam operasi tersebut, DLH telah mengerahkan seramai 1,325 petugas, melebihi jumlah yang dirancang iaitu 1,150 orang yang mana mereka turut dibantu oleh 51 unit penyapu jalan, 70 trak sampah dan 49 kenderaan pengangkut sampah.
Pembersihan dilakukan di lima wilayah pentadbiran Jakarta, dengan tumpuan utama di sekitar jalan yang menjadi pusat demonstrasi.
Sementara itu, di Jakarta Utara, sebanyak 275 petugas ditugaskan di kawasan Jembatan Tiga, Jalan Yos Sudarso dan Pegangsaan Dua, menurut laporan Astro Awani.
Di Jakarta Barat, 200 petugas menjalankan tugas di kawasan Slipi, manakala di Jakarta Selatan, 250 petugas membersihkan kawasan Sudirman, Semanggi dan Kuningan.
Bagi Jakarta Timur, seramai 300 petugas difokuskan di Jalan Proklamasi, Jalan Raya Bogor dan Mampang Prapatan.
DLH turut merancang operasi lanjutan menggunakan kren untuk pembersihan berat di Halte TransJakarta Senen dan kawasan Polda Metro Jaya, yang akan dilaksanakan pada waktu malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.