Skip to main content

Dunia

Lebih 1,200 penerbangan dibatalkan serata Amerika akibat penutupan operasi pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1,200 penerbangan dibatalkan serata Amerika akibat penutupan operasi pemerintah

Penerbangan yang dibatalkan dipaparkan pada papan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pada 7 Nov 2025. (Gambar: Getty Images/AFP/Justin Sullivan)

Diterbitkan : 08 Nov 2025 07:26AM Dikemas Kini : 08 Nov 2025 07:41AM
WASHINGTON: Lebih 1,200 penerbangan dibatalkan di seluruh Amerika Syarikat pada Jumaat (7 Nov) selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengarahkan pengurangan penerbangan untuk mengurangkan tekanan ke atas para pengawal trafik udara yang bekerja tanpa gaji di tengah-tengah penutupan operasi pemerintah persekutuan.

Empat puluh lapangan terbang dijadualkan untuk mengurangkan penerbangan, termasuk hab utama di Atlanta, Newark, Denver, Chicago, Houston dan Los Angeles.

Dengan Republican dan Democrat terikat dalam keadaan yang sengit, terutamanya mengenai subsidi insurans kesihatan, operasi agensi-agensi persekutuan terhenti sejak pembiayaan dana tamat pada 1 Oktober.

Ramai pekerja pemerintah, termasuk kakitangan lapangan terbang, sama ada bekerja tanpa gaji, diberhentikan kerja atau diarah duduk di rumah, menunggu krisis yang kini hampir enam minggu berakhir.

Pengurangan jumlah penerbangan berkuat kuasa secara bertahap-tahap, bermula pada 4 peratus dan meningkat kepada 10 peratus minggu depan jika Kongres masih belum mencapai persetujuan.

Lebih 1,200 penerbangan yang dijadualkan pada Jumaat telah dibatalkan, menurut laman web penjejakan pesawat FlightAware.

Syarikat analisis penerbangan Cirium menyatakan bahawaa 3 peratus penerbangan di Amerika Syarikat telah dibatalkan setakat ini, dengan 94 peratus berlepas tepat pada waktunya.

Lapangan terbang yang paling terjejas ialah Hartsfield-Jackson di Atlanta, Chicago O'Hare, Denver dan Phoenix, menurut data yang dianalisis oleh AFP.

"Ini mengecewakan. Kita tidak perlu berada dalam kedudukan ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Robert Isom, kepada CNBC.

Pergolakan ini bermakna rakyat Amerika kini merasai secara langsung kesan daripada pertikaian belanjawan di Washington yang telah menutup sebahagian besar operasi pemerintah.

Senat dijangka mencuba buat kali ke-15 pada Jumaat untuk meluluskan langkah pembiayaan dana jangka pendek yang diluluskan Dewan Perwakilan yang akan membuka semula operasi pemerintah – tetapi undian itu dijangka gagal seperti 14 undian sebelumnya.

Setiausaha Pengangkutan Amerika Sean Duffy menyalahkan Democrat, dengan mengatakan mereka harus mengundi untuk membuka semula operasi pemerintah.

"Jika para anggota Democrat akan pulang ke rumah hujung minggu ini, dan mereka telah menutup pemerintah, ia adalah sesuatu yang memalukan," kata Encik Duffy kepada para wartawan di Lapangan Terbang Nasional Reagan.

Sungguhpun demikian, Republican mengawal Kongres, dan Democrat telah mengatakan bahawa mereka tidak akan menyokong pelan Republican, termasuk pemotongan penjagaan kesihatan yang sangat ketara.

Langkah-langkah untuk mengurangkan penerbangan dilakukan ketika negara itu memasuki tempoh perjalanan paling sibuk tahun ini, dengan cuti Thanksgiving bakal disambut dalam masa hanya beberapa minggu lagi.
Sumber : Agensi berita/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita