Skip to main content

Dunia

Lebih 1.2 juta tiba di Saudi untuk tunai umrah musim baharu; naik 30% berbanding 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1.2 juta tiba di Saudi untuk tunai umrah musim baharu; naik 30% berbanding 2024

Kawasan Masjidil Haram pada 7 Jun 2024. (Gambar: @HaramainInfo/X)

Diterbitkan : 01 Aug 2025 07:30AM
  • Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 1.2 juta jemaah sudah memasuki negara itu untuk menunaikan umrah sejak permulaan musim pada 15 Zulhijah hingga akhir 30 Muharam yang tiba dari 109 negara.
  • Kementerian itu mencatatkan peningkatan 30 peratus pada bilangan jemaah umrah yang memasuki negara itu dengan visa umrah berbanding tempoh sama tahun lalu.
  • Kementerian tersebut sebelum ini telah mengumumkan permulaan musim umrah pada 14 Zulhijah 1446 Hijrah, dengan visa dikeluarkan melalui platform Nusuk, menandakan fasa baharu kemudahan untuk jemaah, selaras dengan perjalanan pembangunan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030.
  • Kementerian itu juga telah memperluaskan kandungan kesedaran dan perkhidmatan digital dalam pelbagai bahasa, yang mencerminkan kepimpinan Kerajaan Arab Saudi dalam memberi perkhidmatan kepada pengunjung dua masjid suci dan memastikan tahap keselesaan, keselamatan dan kepuasan tertinggi untuk para jemaah.
Dijana oleh AI
JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 1.2 juta jemaah sudah memasuki negara itu untuk menunaikan umrah sejak permulaan musim pada 15 Zulhijah hingga akhir 30 Muharam yang tiba dari 109 negara.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), kementerian itu mencatatkan peningkatan 30 peratus pada bilangan jemaah umrah yang memasuki negara itu dengan visa umrah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, terdapat peningkatan 27 peratus pada jumlah visa umrah yang dikeluarkan dan lebih 4,200 kontrak telah ditandatangani antara syarikat umrah dan ejen luar, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi dalam menyambut kedatangan jemaah.

Kementerian tersebut sebelum ini telah mengumumkan permulaan musim umrah pada 14 Zulhijah 1446 Hijrah, dengan visa dikeluarkan melalui platform Nusuk, menandakan fasa baharu kemudahan untuk jemaah, selaras dengan perjalanan pembangunan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030.

Kementerian itu menyatakan, permintaan yang semakin meningkat untuk umrah adalah susulan musim haji yang berjaya, yang dicirikan dengan pelaksanaan bersepadu, prosedur yang ditambah baik dan pembangunan infrastruktur teknikal.

Ia turut memaklumkan, persiapan untuk musim baharu bermula lebih awal dengan penyelarasan bersama entiti berkaitan bagi memastikan proses yang lancar.

Kementerian itu juga telah memperluaskan kandungan kesedaran dan perkhidmatan digital dalam pelbagai bahasa, yang mencerminkan kepimpinan Kerajaan Arab Saudi dalam memberi perkhidmatan kepada pengunjung dua masjid suci dan memastikan tahap keselesaan, keselamatan dan kepuasan tertinggi untuk para jemaah.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita