Skip to main content

Dunia

Lebih 110 maut dalam serangan dron di kolej tentera Syria

Anggaran Waktu Membaca:
HOMS: Lebih 110 orang dilaporkan terbunuh dan ratusan mangsa lain cedera dalam serangan dron semasa berlangsung upacara konvokesyen kolej tentera di bandar Homs, Barat Syria, pada Rabu lalu (4 Okt).

Kaum wanita dan kanak-kanak antara mangsa serangan dron yang diisi bahan letupan itu, menurut Menteri Kesihatan Syria.

"Dalam jumlah awal, tindakan pengganas yang menyerang upacara konvokesyen pelajar di Kolej Tentera di Homs telah mengakibatkan kematian 80 orang, termasuk enam kanak-kanak dan bilangan yang cedera adalah 240," kata Hassan Al-Ghobash.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Bagaimanapun, kenyataan awal Kementerian Pertahanan menyalahkan "kumpulan pengganas yang disokong oleh pihak antarabangsa terkenal".

"Terdapat puluhan tentera yang cedera, dengan kecederaan yang serius dalam kalangan keluarga yang dijemput, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain daripada beberapa pelajar kolej yang menghadiri konvokesyen," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Angkatan tentera Syria mendakwa serangan itu "luar biasa" dan berjanji untuk bertindak balas "dengan sepenuhnya dan dengan keazaman, dengan memberi peringatan mereka yang merancang dan melaksanakan serangan "akan terpaksa membayar harga yang mahal."

Bandar Homs yang dahulu dikenali sebagai ibu kota revolusi Syria merupakan lokasi pertempuran sengit antara tentera rejim dan pejuang pembangkang yang cuba menjatuhkan Presiden Bashar Al-Assad pada tahun 2012.

Bandar itu jatuh pada tahun 2014, apabila pemberontak meninggalkannya selepas dikepung selama dua tahun.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita