Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 100,000 saman trafik tertunggak di M'sia sejak 2016 melibatkan warga S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 108,757 saman tertunggak yang dicatatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan oleh warga Singapura bagi tempoh 2016 hingga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Mat Kasim Karim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 21,452 saman trafik belum dijelaskan pada 2016, sebanyak 19,275 saman pada 2017 dan 30,946 saman pada 2018. 

Pada 2019, sebanyak 24,846 saman tertunggak dicatatkan, manakala sebanyak 12,128 saman pada 2020 dan 110 saman pada 2021.

“Saman yang telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya memandu melebihi had laju, memotong barisan, mengabaikan isyarat lalu lintas dan tidak memakai tali pinggang keledar, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan atau spesifikasi, terlibat kemalangan jalan raya, halangan lalu lintas serta kesalahan lampu brek dan sebagainya.

“Warga Singapura yang mempunyai saman tertunggak dan telah dikeluarkan waran tangkap boleh dihalang untuk memasuki atau keluar dari negara ini dan pesalah trafik berkenaan juga boleh ditahan dan didakwa di mahkamah dalam tempoh segera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (7 Apr).  

Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya berlaku kelemahan penguatkuasaan terhadap warga republik itu dan menegaskan JSPT sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah trafik.

“Saman tertunggak ini juga terkait dengan kegagalan untuk menyerahkan notis saman kepada pesalah trafik kerana tidak mempunyai alamat bagi membolehkan saman berkenaan diposkan kepada mereka. Terdapat juga kemungkinan kenderaan disaman sudah dilupuskan kerana sudah cukup tempoh lima tahun berdasarkan undang-undang negara itu.

“PDRM mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warga Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui sistem kutipan Caj Jalan (RC) dan rekod Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi,” katanya.

Mat Kasim berkata berdasarkan sistem berkenaan, ia membolehkan polis mendapatkan maklumat pesalah trafik bagi tujuan menyerahkan notis saman.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan