Lebih 100 Rohingya lari dari pusat tahanan di Perak, polis giatkan usaha memburu

Pintu masuk Depo Tahanan Imigresen Bidor, di Perak pada 2 Feb 2024. Lebih 100 pelarian Rohingya merusuh sebelum meloloskan diri.
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia meneruskan gerakan besar-besaran memburu 131 pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depo Tahanan Imigresen Bidor, di Perak, pada Khamis malam (1 Feb)
Ketua Polis Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, mengesahkan pendatang asing tanpa izin itu telah merusuh sebelum meloloskan diri.
115 orang daripada mereka adalah lelaki etnik Rohingya manakala baki 16 lagi, lelaki Myanmar dari kaum-kaum lain.
Seorang daripada mereka bagaimanapun maut dalam nahas jalan raya, kata polis pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya percaya tahanan berusia antara 17 hingga 35 tahun itu masih berada di kawasan sekitar berikutan mereka lari dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa wang, keperluan diri dan makanan.
"Kami percaya dalam keadaan mereka itu dengan penglibatan pelbagai agensi, kami akan dapat menahan mereka semula dan perkembangan mengenai maklumat tangkapan akan diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di luar depot itu pada Jumaat.
Beliau berkata operasi pencarian disertai Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Jabatan Imigresen dan bantuan dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.
Menurutnya pemeriksaan ketat turut dilaksanakan menerusi sekatan jalan yang didirikan di kawasan sekitar Tapah dan daerah berhampiran iaitu Kampar serta Muallim.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, kesemua tahanan berkenaan melakukan rusuhan dengan memecahkan pagar serta kawat duri di depot tahanan, lalu melarikan diri.
Katanya punca rusuhan masih dalam siasatan dan laporan terperinci akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.
Beliau juga meminta orang ramai yang melihat individu atau kumpulan etnik Rohingya itu di kawasan sekitar depot termasuk dalam ladang kelapa sawit, lebuh raya berhampiran, hutan, kawasan perumahan mahupun tempat awam supaya menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bersekongkol atau bersimpati kepada pelarian ini kerana boleh didakwa kerana bersubahat," katanya.
Sementara itu, Encik Mohd Yusri menafikan berita tular di media sosial yang mendakwa terdapat 13 orang etnik Rohingya meninggal dunia dalam kemalangan maut di KM335 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas kejadian.
"Hanya seorang sahaja (tahanan yang lolos) meninggal dunia dalam kemalangan itu (di KM335 Lebuhraya Utara Selatan arah utara). Polis ingin menasihati orang ramai supaya berhenti menyebarkan perkara tidak benar dan maklumat palsu," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.