Lebih 100 pelarian Rohingya tiba di pantai Aceh kebuluran, tidak bermaya
Pelarian Rohingya yang berehat seketika di wilayah Aceh, Bireuen pada 6 Mac 2022. (Gambar: Zik Maulana/AP)
BANDA ACEH: Lebih 100 Muslim Rohingya yang kebuluran dan tidak bermaya ditemui di pantai wilayah utara Indonesia, Aceh, pada Ahad (6 Mac) selepas berminggu-minggu di laut.
Kumpulan tersebut tiba di pantai Jangka berdekatan Alue Buya Pasi, iaitu sebuah kampung nelayan di daerah Bireuen pada pagi Ahad (6 Mac). Para penduduk kampung yang ternampak seramai 114 pelarian Rohingya dalam sebuah bot kayu, membantu mereka mendarat dan kemudian melaporkan ketibaan mereka kepada pihak berkuasa, menurut Badruddin Yunus, penghulu kampung nelayan tersebut.
"Mereka kelihatan sangat lemah akibat kelaparan dan kekurangan air selepas begitu lama di laut," tambah Badruddin.
Namun belum jelas dari mana mereka memulakan pelayaran atau destinasi yang ingin ditujui kerana tiada seorang pun daripada mereka yang boleh berbahasa Inggeris atau bertutur dalam bahasa Melayu.
Kumpulan seramai 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak itu diberikan tempat berteduh dan menerima bantuan daripada para penduduk kampung, polis dan anggota tentera, manakala pihak berkuasa tempatan, termasuk pasukan bertindak koronavirus, membantu untuk mendaftar mereka.
Lebih 700,000 Muslim Rohinya melarikan diri dari Myanmar, yang kebanyakan penduduknya adalah penganut Buddha, ke kem-kem pelarian di Bangladesh sejak Ogos 2017.
Ketika itu, tentera Myanmar melancarkan operasi sebagai tindak balas terhadap serangan-serangan yang dilancarkan oleh sebuah kumpulan pemberontak.
Pasukan keselamatan Myanmar juga dituduh merogol dan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai di samping membakar beribu-ribu rumah.
Para pelarian Rohingya juga cuba melarikan diri daripada kem-kem pelarian yang padat di Bangladesh melalui jalan laut yang berbahaya ke negara-negara lain yang mempunyai ramai penduduk Islam di rantau ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.