Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan selepas bot karam dekat Indonesia: PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 100 pelarian Rohingya diselamatkan selepas bot karam dekat Indonesia: PBB

(Gambar: AFP/CHAIDEER MAHYUDDIN)

Diterbitkan : 30 Nov 2024 09:30PM Dikemas Kini : 30 Nov 2024 09:31PM
BANDA ACEH: Lebih 100 pelarian Rohingya temasuk wanita dan kanak-kanak diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Indonesia, dedah Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Sabtu (30 Nov).

"Kami menerima laporan daripada pemerintah Aceh Timur bahawa terdapat 116 pelarian secara keseluruhan," kata pegawai UNHCR Faisal Rahman kepada AFP.

"Buat masa ini pelarian masih berada di pantai, belum diputuskan ke mana mereka akan dihantar."

Encik Rahman berkata bot kayu yang membawa pelarian itu ditemui separuh karam tidak jauh dari pantai timur laut pulau Sumatera.

Seorang nelayan tempatan, Saifudin Taher berkata, bot tersebut ditemui memasuki perairan Aceh Timur buat pertama kali pada pagi Sabtu, dan kemudian karam beberapa jam selepas itu.

"Kesemua penumpang selamat, namun salah satu daripada mereka sakit ... dan segera menerima rawatan," kata Encik Saifudin kepada AFP.

Bulan lalu, 152 pelarian Rohingya akhirnya dibawa ke darat selepas berlabuh selama beberapa hari di perairan Aceh Selatan, sedang pegawai tempatan berbincang sama ada untuk membenarkan mereka mendarat.

Indonesia tidak menandatangani konvensyen pelarian PBB, dan menyatakan ia tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar.

Ia sebaliknya menyeru negara jiran untuk berkongsi beban dan mencari tempat baharu untuk pelarian Rohingya yang tiba di pantai negara itu.

Ramai penduduk Aceh yang mengalami konflik berdarah selama beberapa dekad, bersimpati dengan nasib saudara sesama Islam mereka.

Namun sebahagian lain berkata kesabaran mereka diuji, dan mendakwa pelarian Rohingya mengambil sumber terhad dan kadangkala mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan.
Sumber : AFP/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan