Skip to main content

Dunia

Lebih 100 maut akibat banjir, tanah runtuh di India sejak Julai

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 100 maut akibat banjir, tanah runtuh di India sejak Julai

Seorang lelaki mencari barangan miliknya di runtuhan rumah yang dihanyutkan banjir kilat susulan hujan lebat di daerah Sivasagar, Assam, pada 26 Julai 2026. (Gambar: AFP/Biju Boro)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 04:31PM
NEW DELHI: Lebih 100 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan monsun di seluruh India sejak Julai, menurut data rasmi pada Rabu (5 Ogos).

Ribuan penduduk turut terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang dinaiki air.

Wilayah Assam di timur laut India antara kawasan paling teruk terjejas, dengan sekurang-kurangnya 87 orang terkorban, menurut Ketua Menteri Himanta Biswa Sarma.

Di daerah Sivasagar yang paling teruk terjejas, sekitar 47 orang maut dan beberapa kawasan masih dinaiki air.

Pihak berkuasa negeri merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai bagi membantu usaha bantuan dan pemulihan.

"Kemusnahan di sini tidak pernah dialami kawasan-kawasan ini sebelum ini," kata Encik Sarma menerusi X.

"Kerugian harta benda boleh diganti, tetapi tiada pampasan yang dapat menggantikan orang tersayang."

Gambar AFP menunjukkan penduduk menggunakan rakit dan bot getah untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi dengan bantuan pegawai tindak balas bencana.

Di Kerala, selatan India, sekurang-kurangnya 15 orang maut dan tujuh lagi hilang selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari.

Lebih 300 pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan lebih 10,000 orang selepas hujan mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan sungai melimpahi tebing.

Di Jammu dan Kashmir pula, sekurang-kurangnya 31 orang maut, menurut laporan penyiar awam India.

Bencana berkaitan monsun berlaku setiap tahun di India selepas musim panas yang panjang, ketika banyak kawasan berdepan kekurangan air dan kemarau.

Para saintis berkata perubahan iklim menyebabkan corak monsun semakin tidak menentu, sukar diramal dan membawa kesan lebih buruk di rantau Asia Selatan.

Sri Lanka turut dilanda hujan monsun luar biasa lebat, yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.

Sekurang-kurangnya lapan orang maut di negara itu sejak Isnin, manakala sekitar 12,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang dinaiki air.

Pada masa sama, kawasan timur Sri Lanka dilanda kemarau teruk sehingga pihak berkuasa terpaksa menghantar bekalan air minuman menggunakan lori tangki air.

Pemerintah Sri Lanka berkata cuaca buruk itu berpunca daripada fenomena El Nino tahun ini.

Pemerintah turut menubuhkan pasukan bertindak peringkat menteri bagi mengurangkan kesan fenomena tersebut.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita