Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 10 rumah rosak akibat ribut di Kuantan

Anggaran Waktu Membaca:

KUANTAN: Lebih 10 buah rumah dan sebuah Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) mengalami kerosakan di Semambu, Kuantan, dalam kejadian ribut serta hujan lebat yang melanda daerah tersebut pada petang Jumaat (14 Okt). 

Ketua Kampung Alor Akar Ramli M Taib berkata kejadian itu turut mengakibatkan tiga kanak-kanak lelaki cedera selepas pokok menghempap PEDi berkenaan dan mereka telahpun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

"Saya sempat ke sini untuk melihat keadaan mereka yang cedera di bahagian kepala tetapi tidak pasti tahap keseriusan kecederaan itu yang hanya dapat ditentukan oleh pasukan perubatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat (14 Okt). 

Beliau berkata kejadian sekitar pukul 4.00 petang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin manakala beberapa buah kereta dihempap pokok tumbang. 

Penduduk Rahimah Hussin, 43 tahun, berkata beliau kini berasa tidak selamat untuk menetap di kediamannya selepas rumah dua tingkat itu kini hanya berbumbungkan langit. 

Beliau berkata perkakas rumah, permaidani dan perabot turut rosak akibat air hujan setelah bumbung rumahnya tercabut, dengan anggaran kerugian lebih RM20,000 (S$6,074).  

"Saya sekarang tengah cari lori untuk angkat barang-barang yang masih elok untuk pindah keluar ke rumah saudara. Memang takut nak tinggal di sini... rumah pun dah tak ada bumbung, lantai pula hanya plywood (papan lapis) saja, saya bimbang ia runtuh selepas terkena air hujan," katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah menerusi catatan di Facebook berkata Skuad Prihatin Bencana Perikatan Nasional Indera Mahkota sudahpun membantu mangsa di kawasan tersebut. 

Beliau, yang juga Menteri Luar, merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuantan yang turut sama menghulurkan bantuan. 

Tinjauan Bernama di Jalan Beserah mendapati berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang hampir tiga kilometer disebabkan kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang, selain gerai makanan rosak akibat angin kencang. 

Peniaga nasi ayam Sabani Abdul Ghani, 51 tahun, berkata ketika kejadian, beliau baru selesai berniaga dan sedang membersihkan gerainya. 

"Memang cepat sangat kejadian berlaku. Barang-barang meniaga ada yang rosak, namun mujur saya terselamat... sekarang kami tengah kemas peralatan yang boleh dipakai lagi dan berharap saya dapat kembali berniaga dalam masa terdekat," katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan