Lebih 1,300 polis dikerah bagi undian PRK Tanjung Piai esok
Sejumlah 1,341 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menjamin kelancaran hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok (16 Nov).
Tanjung Piai terletak di penghujung selatan benua Asia. (Gambar fail: Bernama)
PONTIAN: Sejumlah 1,341 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menjamin kelancaran hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok (16 Nov).
Hampir 52,500 orang layak mengundi dalam pilihan raya itu, menerusi 27 pusat mengundi.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata kesemua mereka melibatkan pegawai dan anggota pelbagai jabatan termasuk jenayah, trafik dan cawangan khas yang ditugaskan menjaga keselamatan serta kawalan lalu lintas.
"Daripada apa yang kita (polis) laksanakan ini, kita berharap pengundi-pengundi tidak akan risau dan gusar untuk keluar mengundi di 27 pusat mengundi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan DUN Kukup ," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada Jumaat (15 Nov).
Supt Mustafa Bakri berkata tiga jalan di kawasan pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, akan ditutup mulai 8.00 pagi esok sehingga urusan penjumlahan undi dan pengumuman kemenangan calon selesai.
Beliau berkata ketiga-tiga jalan adalah Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan manakala sebagai alternatif, para pengguna boleh melalui Jalan Bakek, Jalan Alsagoff dan Jalan Parit Mesjid.
Sejak tempoh berkempen bermula 2 November lepas, polis menerima 35 aduan berkaitan pilihan raya itu dan daripada jumlah tersebut, polis membuka lima kertas siasatan membabitkan beberapa kesalahan termasuk menggantung kain rentang berunsur provokasi.
Tiga daripadanya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dua kes lagi mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, katanya.
"Sepanjang tempoh berkempen mulai 2 Nov hingga semalam, kita dapati tiada insiden-insiden besar yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam di mana pihak polis sentiasa memastikan semua kempen berjalan lancar tanpa ada gangguan," katanya.
Supt Mustafa Bakri berkata keseluruhannya, sebanyak 879 permit dikeluarkan pihaknya terhadap parti dan calon sejak 2 Nov sehingga semalam membabitkan 382 permit terhadap Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) (158), Gerakan (129), Berjasa (190) dan Bebas (20).
Beliau turut menasihati para pengundi dan penyokong supaya mematuhi peraturan dan mengikuti arahan yang diberikan pasukan polis yang bertugas agar ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.
PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Dr Wee Jeck Seng (BN), Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.