Lebih 1,000 kes Ebola dilaporkan di Congo: PBB
Jumlah kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat minggu ini, melepasi angka 1,000, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Jumlah kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat minggu ini, melepasi angka 1,000. (Gambar: AFP)
NEW YORK: Jumlah kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat minggu ini, melepasi angka 1,000, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata satu peningkatan ketara dalam jumlah kes Ebola di negara ini berlaku minggu ini, disebabkan persekitaran yang sukar dan cabaran yang pelbagai dalam mendepani respons terhadap penularan wabak itu," kata Encik Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.
"Terdapat sejumlah 1,041 kes yang disahkan sudah dilaporkan, termasuk 629 kematian," kata Encik Dujarric kepada pemberita pada taklimat rutin. "Seramai 338 pesakit yang menerima rawatan di pusat rawatan Ebola sudah dibenarkan pulang."
"WHO, yang bertugas di bawah kepimpinan pemerintah dan menjalin usaha sama dengan agensi lain, berkata pasukannya kini berusaha membina kepercayaan masyarakat dan meningkat respons di semua kawasan terbabit," katanya.
Agensi itu melaporkan bahawa satu perubahan dalam strategi respons baru-baru ini bagi mempromosi penglibatan lebih baik dan pemilikan di masyarakat terjejas mula membuahkan hasil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.