Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 1,000 bendera PKR diturunkan; bantah senarai calon PKR Selangor

Lebih 1,000 bendera PKR di kawasan Dun Kota Damansara diturunkan awal pagi semalam (25 Apr) dipercayai tanda bantahan selepas seorang pemimpin tidak dicalonkan di kerusi berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 1,000 bendera PKR diturunkan; bantah senarai calon PKR Selangor

Gambar fail.

Diterbitkan : 26 Apr 2018 11:45AM Dikemas Kini : 26 Apr 2018 11:47AM

PETALING JAYA: Lebih 1,000 bendera PKR di kawasan Dun Kota Damansara diturunkan awal pagi semalam (25 Apr) dipercayai tanda bantahan selepas seorang pemimpin tidak dicalonkan di kerusi berkenaan.

Sinar Harian dimaklumkan bendera berkenaan diturunkan sekitar jam 3.00 pagi di kawasan Kampung Melayu Subang, Subang Bestari, Subang Perdana U3 serta Pekan Subang dan beberapa lokasi lain.

Tindakan menurunkan bendera berkenaan dilakukan selepas beberapa jam Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan senarai calon PKR Selangor untuk PRU14 ketika program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor, malam kelmarin (24 Apr).

Wujud dakwaan yang mengatakan perbuatan menurunkan bendera itu mempunyai kaitan dengan Penyelaras PKR Dun Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaludin yang dikatakan kecewa selepas namanya tidak tercalon di Dun Kota Damansara, menurut Sinar Harian.

Beliau ketika dihubungi semalam, menafikan perbuatan itu mempunyai kaitan dengannya dan juga penyokongnya di situ.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, saya percaya tindakan menurunkan bendera bukan daripada penyokong-penyokong saya.

“Sebaik nama saya digugurkan sebagai calon, saya sudah mengingatkan dan menasihati semua jentera bahawa kita perlu teruskan perjuangan untuk parti bukan untuk saya atau mana-mana calon bertanding,” katanya seperti ditukil Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohd Radzlan memaklumkan dia tidak mahu mengaitkan perbuatan itu dengan mana-mana pihak memandangkan dia tidak mempunyai sebarang bukti.

“Saya nampak perbuatan itu boleh menimbulkan pelbagai persepsi umum terhadap saya, yang mana orang boleh fikir bahawa jentera saya menurunkan bendera berkenaan kerana kecewa saya tidak dicalonkan.

“Boleh jadi juga orang fikir, pihak lain yang menurunkan bendera bagi menunjukkan yang saya kecewa dengan parti,” katanya. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan