Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebah dalam enjin pesawat sebabkan penerbangan ditunda

Sekumpulan lebah terbang memasuki salah sebuah enjin pesawat Mango Airlines, menyebabkan beberapa penerbangan ditunda di lapangan terbang utama di bandar pesisir Durban di Afrika Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebah dalam enjin pesawat sebabkan penerbangan ditunda

Tiga penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Shaka tertangguh akibat insiden ini. (Gambar: @FlyMangoSA/Twitter)

Diterbitkan : 27 Sep 2018 04:48PM Dikemas Kini : 27 Sep 2018 04:54PM

DURBAN: Sekumpulan lebah terbang memasuki salah sebuah enjin pesawat Mango Airlines, menyebabkan beberapa penerbangan ditunda di lapangan terbang utama di bandar pesisir Durban di Afrika Selatan.

BBC melaporkan para pakar lebah terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan sekitar 20,000 lebah dari enjin berkenaan dengan selamat, menurut syarikat penerbangan tambang murah itu.

Insiden tersebut adalah sesuatu yang jarang berlaku dan lebah-lebah tersebut mungkin sedang berehat sebelum terbang ke tempat dituju, kata seorang pakar.

Beliau menambah bahawa lebah-lebah itu tidak mungkin ingin menjadikan enjin itu sebagai sarang.

Sekumpulan lebah tersebut memasuki enjin berkenaan dalam kurang 25 minit dan menyebabkan tiga penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Shaka tertangguh, menurut jurucakap Mango Airlines, Sergio dos Santos.

"Saya tidak pernah menyaksikan insiden seumpama ini dalam tempoh lapan tahun saya bekerja dalam industri penerbangan," kata beliau kepada laman berita negara itu, News24 yang ditukil BBC.

Mango Airlines turut memuat naikkan gambar insiden itu di laman Twitternya.

Menurut laporan BBC, syarikat pengendali lebah privet A Bee C mengambil masa untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa lapangan terbang untuk memasuki kawasan landasan.

Mereka berjaya mengeluarkan lebah-lebah tersebut dengan pantas sejurus selepas kelulusan diberikan, kata Melvyn Dawson dari syarikat A Bee C.

"Kami pernah terlibat dalam situasi luar biasa mengeluarkan lebah, tetapi insiden ini adalah yang pertama untuk saya," kata beliau kepada News24, seperti ditukil BBC.

Lebah-lebah itu kini berada di rumah saudara lelaki Encik Dawson, seorang pemelihara lebah, dan kemudian akan dibawa ke ladang lebah.

Pengerusi Persatuan Industri Lebah Afrika Selatan, Mike Miles berkata lebah-lebah itu mungkin sedang berehat di dalam enjin tersbeut.

BBC turut menukil Encik Miles sebagai berkata: "Tempat-tempat itu biasanya berminyak, berbau dan berbahang. Ia tidak sesuai langsung untuk dijadikan sarang lebah. Lebah lebih suka kayu. Jadi ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa."  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan