Skip to main content

Dunia

Lawatan Trump tegaskan hubungan strategik Amerika-Arab Saudi: Menteri Luar

Anggaran Waktu Membaca:
Lawatan Trump tegaskan hubungan strategik Amerika-Arab Saudi: Menteri Luar

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Brendan Smialowski / AFP)

Diterbitkan : 15 May 2025 08:28AM Dikemas Kini : 15 May 2025 08:29AM
RIYADH: Lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Arab Saudi mengesahkan kerjasama strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan.

Bercakap pada sidang media pada Rabu (14 Mei), beliau berkata kerjasama pertahanan dan keselamatan selama beberapa dekad antara Arab Saudi dan Amerika akan terus diperkukuh.

Beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala, menonjolkan hubungan ekonomi yang kukuh dan strategik antara kedua-dua negara.

“Pelaburan Arab Saudi di Amerika Syarikat dipandu oleh kepentingan nasional Kerajaan,” katanya.

Mengenai isu serantau, Encik Faisal berkata Arab Saudi dan Amerika Syarikat berkongsi pendirian sama mengenai kepentingan menamatkan konflik di Gaza dan negaranya menyambut baik keputusan Encik Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria.

“Pertemuan antara Putera Mahkota, Presiden Trump, (Naib Presiden Syria) Farouk al-Sharaa dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menekankan kepentingan menyokong Syria,” katanya, sambil menambah bahawa Arab Saudi akan memainkan peranan utama dalam menyokong ekonomi Syria.

Awal dari itu, pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Presiden Trump mengadakan Sidang Puncak GCC-Amerika di ibu negara Arab Saudi bagi membincangkan isu utama serantau dan global serta memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai sektor.

Sidang puncak yang dihoskan Arab Saudi itu bertepatan dengan lawatan Trump ke negara itu, sekali gus menggariskan kepentingan strategik perkongsian GCC-Amerika dalam menangani cabaran mendesak di Timur Tengah.

GCC dianggotai enam negara - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Sidang puncak GCC-Amerika sebelum ini diadakan pada 2022, 2017, 2016 dan 2015.

Encik Trump yang tiba di Riyadh pada pagi Selasa turut menyertai Forum Pelaburan Arab Saudi-Amerika semasa berada di negara itu.

Dari Riyadh, Encik Trump dijadual meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada 14 Mei dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita