Lawatan Trump ke Timur Tengah titik tolak penting hala tuju dasar luar Amerika
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di Arab Saudi hari ini (13 Mei) bagi memulakan lawatan ke Timur Tengah yang turut melibatkan Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Presiden Donald Trump tiba dengan Air Force One di Pangkalan Bersama Andrews pada 4 Mei 2025. (Gambar: AP/Manuel Balce Ceneta)
Sepertimana penggal pertamanya sebagai Presiden pada 2017, Arab Saudi menjadi destinasi pilihan pertama Encik Trump sejak menyandang jawatan tersebut buat kali kedua pada tahun ini.
Beliau dijadual bertemu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sebelum menghadiri mesyuarat bersama pemimpin Negara Teluk serta pemain industri teknologi dan perniagaan sehingga 16 Mei ini.
Antara lain, konflik Gaza, kerjasama ekonomi serta keselamatan serantau dijangka menjadi agenda perbincangan utama sepanjang lawatan empat hari Encik Trump ke rantau itu.
Arab Saudi sebelum ini memberi komitmen untuk melabur AS$600 bilion di Amerika Syarikat sepanjang tempoh empat tahun akan datang.
Arab Saudi turut bersetuju untuk membeli senjata dari Amerika Syarikat bernilai AS$3.5 bilion awal tahun ini.
Lawatan itu dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju dasar luar Washington di Timur Tengah, di sebalik persekitaran global yang semakin tidak menentu di rantau tersebut dan peringkat global.
Ia turut dijangka menjadi penentu penting yang bakal mencorak dinamika kuasa Arab Saudi di Timur Tengah di sebalik ketegangan dengan Yaman dan Iran, di samping pengaruh yang semakin meningkat dari China dan Rusia.
Sejak beberapa tahun lalu, kedua-dua kuasa besar dunia itu telah memperkukuhkan kehadiran politik dan ekonomi mereka di Timur Tengah, dengan China menumpukan perhatian kepada pelaburan ekonomi, dan Rusia pula terhadap kerjasama keselamatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.