Skip to main content

Dunia

Lawatan rasmi 2 hari ke Indonesia capai matlamatnya, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi dua hari beliau ke Indonesia atas undangan Presiden Joko Widodo berhasil mencapai objektifnya.

Beliau yang mengakhiri lawatannya pada Isnin (9 Jan) berkata pelbagai isu berbangkit ditangani dalam pertemuan bersama Encik Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor dan perbincangan bersama beberapa menteri Indonesia.

Encik Anwar berkata antara perkara yang dibincangkan adalah ekonomi dan pelaburan dua hala, pembangunan ibu negara baru Indonesia, Nusantara, isu sempadan yang berlarutan selama 60 tahun serta tenaga kerja negara itu di Malaysia.

"Alhamdulillah, kunjungan rasmi ke Indonesia atas undangan Presiden Indonesia mencapai maksud dan tujuan asal," katanya kepada para wartawan Malaysia selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Hubungan Strategik Malaysia Indonesia: Cabaran dan Harapan’ di CTCorp Leadership Forum di Jakarta. 

Beliau berkata hati kebanyakan rakyat Indonesia tergores dengan laporan kes penderaan dan sebagainya membabitkan tenaga kerja warga negara itu walaupun jumlahnya sangat kecil.

"Kita beri jaminan bahawa kita ada tindakan tegas oleh pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia," katanya.

Encik Anwar, yang dikenali sebagai tokoh perjuangan dan perubahan di Indonesia, turut menzahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu ramai kenalan termasuk tokoh Islam, budayawan dan politik serta bekas menteri.

"Ini menunjukkan persahabatan yang terjalin bukan saja di tingkat atas tetapi sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata konglomerat Indonesia yang terlibat dalam bidang kewangan, perladangan dan pembinaan milik Chairul Tanjung akan berkunjung ke Malaysia dalam masa beberapa minggu lagi untuk meneroka sektor perkhidmatan serta teknologi maklumat.

Dalam sesi bersama ahli perniagaan, Perdana Menteri Malaysia itu turut memberi keyakinan kepada para pelabur mengenai perubahan yang sedang berlaku di Malaysia meliputi kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan kadar kelulusan pelaburan yang pantas.

Encik Anwar dan delegasinya berlepas pulang ke Malaysia selepas menamatkan lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 Nov lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada pukul 6.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).

Semasa lawatan itu, beliau memulakan tradisi bersongkok dalam acara tertentu demi memartabatkan budaya dan menyaksikan penyerahan 11 surat hasrat (LoI) 10 syarikat Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara bersama Joko Widodo di Istana Presiden di Bogor.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita