Lawatan Putin ke Beijing sasar buktikan hubungan Rusia-China tetap utuh
Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping di luar Sidang Puncak BRICS di Kazan, Rusia, 22 Okt 2024. (Gambar: Kristina Kormilitsyna/BRICS-RUSSIA2024.RU Host Photo Agency via REUTERS)
Lawatan ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa hubungan mereka tetap utuh, selang beberapa hari selepas lawatan Donald Trump ke negara itu.
Pengesahan mengenai lawatan Encik Putin dibuat hanya beberapa jam selepas Encik Trump menggulung lawatannya pada Jumaat. Ia merupakan lawatan pertama seorang presiden Amerika Syarikat ke China dalam tempoh hampir sedekad, yang bertujuan untuk menstabilkan hubungan kedua-dua negara yang sering bergolak.
Menurut kenyataan daripada Kremlin, Encik Putin dan Encik Xi dijadualkan membincangkan cara untuk "mengukuhkan lagi" hubungan rakan strategik antara Rusia dan China, serta "bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu penting peringkat antarabangsa dan serantau".
Hubungan mereka menjadi semakin erat sejak Rusia menyerang Ukraine pada tahun 2022, di mana Encik Putin melawat Beijing pada setiap tahun sejak itu.
Mosko kini dipulaukan secara diplomatik di peringkat global dan sangat bergantung kepada Beijing dari segi ekonomi, dengan China kini menjadi pembeli utama minyak Rusia yang dikenakan sekatan ekonomi.
Bagi menunjukkan kemesraan menjelang lawatan tersebut, kedua-dua pemimpin bertukar "surat tahniah" pada Ahad sempena ulang tahun ke-30 perkongsian strategik negara mereka.
Menurut media rasmi China, Encik Xi menyatakan bahawa kerjasama antara Rusia dan China "semakin mendalam dan kukuh".
Manakala dalam satu perutusan video kepada rakyat China yang dikeluarkan pada Selasa, Encik Putin berkata hubungan kedua-dua negara telah mencapai "tahap yang benar-benar luar biasa" dan "perdagangan antara Rusia dan China terus meningkat".
"Hubungan strategik yang erat antara Rusia dan China memainkan peranan penting dalam menstabilkan keadaan global. Tanpa berpakat untuk menentang sesiapa, kami mahukan keamanan dan kemakmuran bersama," tambah Encik Putin tanpa menyebut nama mana-mana negara ketiga.
Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka menandatangani satu perisytiharan bersama selepas perbincangan mereka selesai.
"SAHABAT LAMA YANG DIHORMATI"
Semasa Encik Putin melawat Beijing kali terakhir pada September 2025, Encik Xi menyambutnya dengan tangan terbuka sebagai seorang "rakan lama" - panggilan mesra yang tidak diberikan oleh pemimpin China itu kepada Encik Trump pada minggu lalu.
Encik Putin, yang menyifatkan Encik Xi sebagai "sahabat karibnya", sangat berharap dapat menunjukkan kepada dunia bahawa hubungan mereka langsung tidak terjejas oleh lawatan Encik Trump.
Walaupun lawatan Encik Putin ini dijangka tidak disambut dengan penuh adat istiadat yang gah seperti lawatan Encik Trump, "hubungan Xi-Putin tidak memerlukan jaminan berbentuk sandiwara sedemikian," kata Patricia Kim dari Brookings Institution di Washington.
Kedua-dua pihak melihat hubungan mereka sebagai "lebih kukuh dari segi struktur dan lebih stabil" berbanding hubungan China-Amerika Syarikat, tambahnya.
Walaupun Beijing kerap kali meminta agar rundingan diadakan bagi menamatkan perang di Ukraine yang kini berlarutan selama lebih empat tahun, ia tidak pernah mengecam tindakan Rusia mengerahkan tenteranya - dan sebaliknya mempamerkan sikap berkecuali.
Encik Trump dan Encik Xi membincangkan isu Ukraine minggu lalu, namun presiden Amerika Syarikat itu meninggalkan China tanpa sebarang jalan penyelesaian.
"Xi hampir pasti akan memberikan taklimat kepada Putin mengenai sidang puncaknys dengan Trump," kata Cik Kim.
Ketiadaan hasil yang jelas daripada pertemuan Encik Xi-Encik Trump itu "berkemungkinan besar memberi kelegaan kepada Mosko bahawa Encik Xi tidak mencapai sebarang persetujuan dengan Encik Trump yang boleh menjejaskan kepentingan Rusia."
PERMINTAAN TINGGI TERHADAP MINYAK
Encik Putin berharap China akan meningkatkan lagi komitmennya kepada Mosko, selepas Encik Trump memberitahu Fox News semasa lawatannya bahawa Beijing telah bersetuju untuk membeli minyak Amerika Syarikat bagi memenuhi permintaan tenaganya yang "sangat tinggi".
Memandangkan Rusia bergantung kepada penjualan minyak kepada China untuk menampung kos peperangannya, "Encik Putin tidak mahu kehilangan sokongan tersebut," kata Lyle Morris daripada Asia Society kepada AFP.
"Encik Putin berkemungkinan besar mahu mendengar daripada Encik Xi tentang langkah China yang seterusnya di Timur Tengah," tambah Encik Morris, selepas "Encik Trump memberikan isyarat jelas bahawa beliau berharap Beijing akan memainkan peranan utama."
Bagaimanapun, apabila menyentuh tentang perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, China dan Rusia mungkin mempunyai keutamaan yang berbeza.
"(China) bergantung kepada kebebasan laluan air utama dunia untuk mengekalkan aktiviti ekonominya, dan lebih cenderung jika ketegangan di Selat Hormuz ditamatkan dengan secepat mungkin," kata James Char dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura kepada AFP.
Sebaliknya, Mosko pula "mendapat keuntungan dari segi ekonomi akibat pertempuran di Iran berikutan kelonggaran sekatan terhadap bekalan tenaga Rusia, jadi mereka mungkin mempunyai pandangan yang berbeza."
Selepas bertemu Encik Xi pada bulan April, diplomat tertinggi Rusia Sergei Lavrov berkata Rusia boleh "menampung" kekurangan tenaga China ketika peperangan menjejaskan bekalan global.
"Hubungan tenaga yang diperluaskan mungkin menjadi agenda utama dalam pertemuan itu kerana Beijing mahukan lebih banyak bekalan tenaga Rusia," kata Joseph Webster daripada Atlantic Council.
"Dari sudut pandangan Mosko, menghantar lebih banyak minyak ke timur (China) mungkin lebih menarik berikutan serangan berterusan Ukraine yang menyasarkan infrastruktur tenaga Rusia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.