Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lawatan PM Anwar ke Indonesia jadi tumpuan; perkukuh hubungan Jakarta-KL

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Indonesia bermula Ahad (8 Jan) menjadi tumpuan penganalisis yang mengharapkan ia akan melakar kerjasama lebih konkrit dalam pelbagai bidang yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

Ini juga merupakan lawatan rasmi luar negara pertama Encik Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 Nov lalu dan Indonesia menantikan pembaharuan dasar yang bakal diperkenalkan, terutama mengenai tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, persempadanan darat dan maritim serta kerjasama perdagangan dan ekonomi.

"Kita akan menantikan adakah Anwar Ibrahim memang benar-benar sosok yang difikirkan oleh rakyat Indonesia sebagai seorang yang boleh membawa perubahan.

"Saya sendiri mengharapkan agar ada perubahan yang lebih harmonis (pada) hubungan Indonesia-Malaysia," kata penganalisis komunikasi politik, Hendri Satrio.

Lawatan rasmi julung kali Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu turut akan memperlihatkan pendirian beliau terhadap pembangunan ibu negara baru Indonesia di Kalimantan, isu serantau ASEAN dan antarabangsa.

Perkara lain yang perlu ditangani adalah situasi Laut China Selatan, pengaruh China di Asia Tenggara dan ketegangan geopolitik antarabangsa, katanya.

Hal senada turut ditekankan Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia dalam laporannya, 'Anwar Ibrahim dan Masa Depan Hubungan Indonesia-Malaysia' baru-baru ini.

Penganalisis Pusat Penyelidikan Politik di BRIN, Sandy Nur Ikfal Raharjo berkata, kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk mewujudkan rantaian nilai rentas sempadan bagi industri terkemuka masing-masing.

Sebagai contoh, katanya lagi, Indonesia boleh menyokong pembangunan industri makanan halal di Malaysia, manakala Malaysia pula menyokong Indonesia dalam industri fesyen Muslim.

Pemerintah kedua-dua negara juga perlu menangani isu pengajian TKI di Malaysia termasuk masalah pengambilan pekerja tanpa permit sah dan usaha untuk menambah pusat pembelajaran untuk kanak-kanak TKI di pelbagai lokasi.

Menyentuh isu sempadan, beliau berkata, rundingan dua hala perlu dipergiatkan agar persetujuan dapat dicapai segera, sekali gus merancakkan pelan pembangunan di wilayah perbatasan masing-masing.

"Ketiga-tiga isu perlu diterjemahkan secara serius kepada dasar dan kerjasama antara negara dan perlu dijaga secara konsisten oleh rakyat kedua-dua negara.

"Justeru, kepentingan nasional setiap negara dapat dipenuhi dalam hubungan Indonesia-Malaysia yang lebih erat di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo," katanya.

 
Sumber : Bernama/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan