Lawatan ke India bertujuan perkukuh semula hubungan terjejas akibat tarif: Rubio
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio turun daripada pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose di Kolkata, India, pada Sabtu, 23 Mei 2026. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson, Pool)
Encik Rubio, yang sebelum lawatan itu berkata Amerika Syarikat mahu menjual tenaga kepada India, menegaskan perkara tersebut dan memberitahu Encik Modi bahawa “produk tenaga Amerika Syarikat berpotensi mempelbagaikan bekalan tenaga India”, menurut ringkasan pertemuan yang dikeluarkan Amerika Syarikat.
Encik Rubio turut “menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan membenarkan Iran menjadikan pasaran tenaga global sebagai tebusan”, tambah pejabat beliau. Krisis tenaga yang tercetus akibat perang Iran menjejas usaha Amerika Syarikat untuk mengurangkan pergantungan India pada minyak Rusia.
Presiden-presiden Amerika Syarikat, termasuk Encik Trump semasa penggal pertamanya, telah lama berusaha menjalin hubungan lebih rapat dengan India yang secara tradisinya berpendirian tidak menyebelahi mana-mana pihak, sebagai pengimbang kepada pengaruh Rusia dan kebangkitan China di Indo-Pasifik.
Namun, usaha itu dilihat terjejas tahun lalu apabila Encik Trump mengenakan antara tarif tertinggi Amerika Syarikat ke atas India.
RUBIO CUBA PULIHKAN HUBUNGAN TERJEJAS AKIBAT TARIF
Sebahagian besar tarif itu kemudian ditarik balik menerusi perjanjian sementara, tetapi kedua-dua negara masih belum memuktamadkan perjanjian perdagangan menyeluruh.
Pada masa sama, Amerika Syarikat semakin rapat dengan Pakistan, pesaing dan jiran India, dengan Islamabad muncul sebagai pengantara penting dalam usaha menamatkan perang Iran - satu lagi isu yang menimbulkan ketegangan dalam hubungan Amerika Syarikat-India.
Walaupun Encik Modi tidak menyebut Iran secara khusus dalam pertemuan pada Sabtu itu, beliau mengulangi sokongan India terhadap usaha damai dan menyeru huraian konflik secara aman melalui dialog dan diplomasi, menurut kenyataan pemerintah India.
Encik Rubio turut menyampaikan undangan bagi pihak Presiden Donald Trump untuk Encik Modi melawat Rumah Putih dalam masa terdekat, kata Duta Amerika Syarikat ke India Sergio Gor.
Bagi India, lawatan Encik Trump ke Beijing bulan ini meningkatkan kebimbangan mengenai hubungan Amerika Syarikat-China, kata Basant Sanghera, mantan pakar dasar Asia Selatan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang kini bersama firma perunding The Asia Group.
Menurut Encik Sanghera, pendekatan Encik Trump “mewujudkan kebimbangan” di India mengenai hubungan dengan Amerika Syarikat, “tetapi hubungan kini kembali stabil dan kedua-dua pihak cuba membina momentum dalam bidang yang mempunyai persamaan”.
Pentadbiran Encik Biden sebelum ini memberi tumpuan kepada India sebagai rakan strategik penting dan meraikan Encik Modi semasa lawatan negara beliau pada 2023. Encik Trump juga menyambut Encik Modi di Rumah Putih pada awal penggal keduanya sebelum mengenakan tarif tinggi yang menjejas hubungan kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.