Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Latihan bersama tentera Korea Selatan-AS diteruskan meski dibantah Pyongyang

Korea Selatan dan Amerika Syarikat akan memulakan latihan ketenteraan bersama pada Isnin (16 Ogos), kata tentera Selatan pada Ahad, di tengah-tengah amaran Korea Utara mengenai krisis diplomatik dan keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Latihan bersama tentera Korea Selatan-AS diteruskan meski dibantah Pyongyang

Gambar fail bendera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (Gambar: Ihsan Ken Scar/US Army/Agihan menerusi Reuters)

Diterbitkan : 15 Aug 2021 06:22PM Dikemas Kini : 15 Aug 2021 06:32PM

SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat akan memulakan latihan ketenteraan bersama pada Isnin (16 Ogos), kata tentera Selatan pada Ahad, di tengah-tengah amaran Korea Utara mengenai krisis diplomatik dan keselamatan.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan secara berkala, lazimnya pada musim bunga dan musim panas, mencetuskan kemarahan Korea Utara selama beberapa dekad, yang menyifatkan latihan itu sebagai latihan perang.

Latihan akan diadakan selama sembilan hari, sebahagian besarnya terdiri daripada latihan simulasi komputer dari markas kawalan dengan jumlah kakitangan yang terbatas dan tidak melibatkan latihan di lapangan langsung atau peluru hidup, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

"Pihak perikatan membuat keputusan setelah mempertimbangkan secara menyeluruh situasi COVID-19, kedudukan pertahanan bersama dan cara untuk menyokong usaha diplomatik bagi melaksanakan pelucutan senjata nuklear dan memupuk perdamaian berkekalan di semenanjung Korea," kata JCS dalam satu kenyataan.

Sehari selepas latihan awal dimulakan minggu lalu, Korea Utara berhenti menjawab panggilan harian di talian hotline rentas Korea, yang baru saja disambung semula pada 28 Julai setelah Korea Utara memutuskannya setahun lalu di tengah-tengah hubungan yang semakin keruh.

Kim Yo Jong, adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, menuduh Korea Selatan "bersikap tidak boleh dipercayai" kerana meneruskan latihan. Seorang pegawai kanan lain berkata pada Rabu bahawa Seoul dan Washington menghadapi risiko "krisis keselamatan yang serius" dengan memilih untuk meningkatkan ketegangan, dan bukannya memperbaiki hubungan.

Amerika Syarikat meletakkan sekitar 28,500 askar di Korea Selatan - peninggalan Perang Korea antara 1950 hingga 1953, yang berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai. Ini bererti semenanjung itu secara teknikal masih dalam keadaan perang.

Latihan ketenteraan bersama dikurangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk membuka jalan kepada perbincangan yang bertujuan untuk meyakinkan Pyongyang melucutkan program nuklear dan peluru berpandu sebagai ganti bagi kelonggaran sekatan Amerika Syarikat.

Rundingan itu gagal pada 2019, dan pentadbiran Presiden Korea Selatan Moon Jae-in berharap agar penyambungan semula talian hotline ketenteran dapat membantu meneruskan rundingan berhubung perlucutan senjata nuklear.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan