Skip to main content

Dunia

Larangan media sosial: Meta turunkan 756,000 akaun remaja Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Larangan media sosial: Meta turunkan 756,000 akaun remaja Australia

Mesej Facebook dipaparkan pada telefon bimbit sedang Meta mula menyekat pendaftaran baharu bagi individu berusia bawah 16 tahun di Australia pada 3 Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hollie Adams)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 05:02PM
SYDNEY: Meta, iaitu syarikat induk Facebook dan Instagram, menyatakan pada Khamis (13 Ogos) bahawa ia sudah menurunkan lebih 750,000 akaun yang disyaki dimiliki warga Australia berusia bawah 16 tahun sejak larangan media sosial bagi golongan tersebut mula dikuatkuasakan.

Syarikat itu turut berikrar mengambil lebih banyak tindakan sedang ia berdepan kemungkinan campur tangan pihak pengawal selia.

Meta menyatakan ia menutup 462,000 akaun Instagram dan 294,000 akaun Facebook yang disyaki dimiliki pengguna bawah umur antara tempoh sejurus sebelum larangan itu berkuat kuasa pada Disember lalu dengan Jun tahun ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 331,000 akaun Instagram dan 173,000 akaun Facebook yang dilaporkan sudah dipadam setakat Januari.

Meta sebelum ini menyatakan ia mahu mematuhi undang-undang tersebut meskipun syarikat itu dan beberapa platform lain lantang membantahnya.

Perkembangan itu berlaku sedang pengawal selia internet Australia menimbangkan tindakan undang-undang terhadap beberapa platform, termasuk yang dimiliki Meta, kerana didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mematuhi undang-undang tersebut.

Tiada platform lain setakat ini mengeluarkan data pematuhan bagi tempoh sama seperti Meta.

Namun, perangkaan pemerintah Australia dan beberapa kajian bebas menunjukkan lebih lapan daripada 10 individu berusia bawah 16 tahun masih menggunakan media sosial dalam tempoh tiga bulan pertama larangan tersebut.

Larangan pertama seumpamanya di dunia itu mula berkuat kuasa pada 10 Disember 2025 menyusuli kebimbangan mengenai kesan media sosial terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta remaja.

Sedang beberapa negara lain menimbangkan sekatan umur serupa, Australia menuduh platform media sosial sengaja menyebabkan larangan tersebut gagal.

Australia juga memperkenalkan undang-undang bagi menggandakan hukuman maksimum terhadap ketidakpatuhan kepada A$99 juta (S$82.7 juta) serta memberikan pengawal selia kuasa lebih besar untuk mendapatkan dokumen.

WAKIL PLATFORM BERI KETERANGAN DI PARLIMEN

Wakil Meta, TikTok, Google yang memiliki YouTube serta Snapchat milik Snap dijadual memberikan keterangan dalam satu siasatan Parlimen mengenai perubahan tersebut pada Jumaat (14 Ogos).

Pegawai pengawal selia dan pemerintah turut dijadual memberikan keterangan.

"Penguatkuasaan masih dijalankan dan jumlah ini akan terus meningkat," menurut Meta.

"Kami berkongsi matlamat pemerintah Australia untuk memastikan golongan muda mempunyai pengalaman online yang selamat dan sesuai dengan usia, dan kami memenuhi kewajipan kami di bawah undang-undang," tambah syarikat itu.

Percubaan teknologi pengesahan usia yang dijalankan Australia pada 2025 mendapati produk yang tersedia di pasaran mampu menyokong pelaksanaan larangan tersebut dengan berkesan.

Kebanyakan platform besar, termasuk yang dimiliki Meta, memperkenalkan perisian atau sofwe anggaran usia berasaskan gambar.

Namun, platform tersebut menyatakan mereka biasanya terlebih dahulu menggunakan kaedah membuat anggaran usia berdasarkan kegiatan pengguna di alam maya.

Meta menyatakan ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis profil pengguna bagi mengesan penunjuk bahawa sesuatu akaun mungkin dimiliki individu berusia bawah 16 tahun.

Ini termasuk sambutan hari lahir atau sebutan mengenai peringkat persekolahan, selain menganalisis laporan mengenai akaun yang disyaki dimiliki pengguna bawah umur.

Syarikat itu turut menghapuskan pilihan yang membolehkan seseorang membuat percubaan tambahan untuk membuka akaun baharu sekiranya akaun sebelumnya sudah dipadam.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita