Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Larangan Ahli Parlimen tukar parti akan dikuat kuasa sebelum PRU15

Masih tiada tarikh khusus bagi akta berhubung peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dikuat kuasa ketika ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Larangan Ahli Parlimen tukar parti akan dikuat kuasa sebelum PRU15

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata akta yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu masih tiada tarikh khusus bagi dikuat kuasa ketika ini.

"Ia (kuat kuasa akta) akan berlaku sebelum itu (PRU15). Jadi, semua perlu bersabar dan saya akan tampil sekali lagi (untuk maklumkan mengenai perkara itu) dalam masa terdekat,” katanya di Bangunan Parlimen hari ini (3 Okt) ketika ditanya pemberita sama ada akta berkenaan akan dilaksanakan atau tidak sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Awal dari itu, Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan Al-Sultan Abdullah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 lalu.

Sementara itu, Dr Wan Junaidi berkata Bajet 2023 tetap akan dibentangkan Jumaat ini (7 Okt) seperti yang dijadualkan menyusuli spekulasi pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Dr Wan Junaidi berkata kerajaan komited untuk memastikan rang undang-undang yang dirangka termasuk Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 yang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen ini.

Menjawab mengenai usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang ditangguhkan lagi, Dr Wan Junaidi berkata perkara itu berikutan hanya terdapat satu pencalonan sahaja bagi jawatan berkenaan untuk undian di Parlimen.

Beliau berkata hanya satu nama sahaja yang dikemukakan iaitu dari pihak kerajaan dalam tempoh 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

“Saya telefon (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim, saya tanya dan beritahu beliau sekiranya tiada pencalonan dari Pakatan Harapan (PH), maka atas pemahaman yang dahulu bahawa kita akan tarik kita punya calon,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Cik Azalina Othman Said ditangguhkan buat kali kelima dan dibawa ke persidangan akan datang.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan