Skip to main content

Dunia

Laporan terperinci tentang HSR akan dibentangkan di Kabinet Malaysia minggu ini

Menteri Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali bertemu dengan para wakil dari pemerintah Singapura pada Sabtu (11 Ogos) untuk membincangkan projek Kereta Api Laju (HSR) dan satu laporan terperinci akan dibentangkan kepada Kabinet Malaysia minggu ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan terperinci tentang HSR akan dibentangkan di Kabinet Malaysia minggu ini

Reka bentuk konsep stesen Bandar Malaysia. (Gambar: MyHSR)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 07:53PM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 01:58AM

SEREMBAN: Menteri Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali bertemu dengan para wakil dari pemerintah Singapura pada Sabtu (11 Ogos) untuk membincangkan projek Kereta Api Laju (HSR) dan satu laporan terperinci akan dibentangkan kepada Kabinet Malaysia minggu ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata mesyuarat itu diadakan bagi menghuraikan isu-isu berkaitan projek tersebut.

"Saya tidak pasti apa (betul-betul didedahkan tetapi mesyuarat itu) tentunya adalah tentang halatuju projek tersebut dan bagaimana untuk menghuraikan (halangan-halangan yang timbul).

"Saya tidak mahu membuat kesimpulan pada masa ini.

"(Azmin) akan membentangkan satu laporan tentang perbincangan itu di Kabinet minggu depan," katanya kepada para wartawan selepas melancarkan Kempen Jalur Gemilang di Taman Pulai Impian.

Pemerintah Singapura menerima cadangan dari Encik Azmin untuk mengadakan satu perbincangan tentang HSR dalam satu surat yang beliau hantar pada 23 Julai.

Projek HSR, yang pertama kali diusulkan oleh Malaysia pada 2013 adalah laluan sepanjang 350km yang menyingkatkan masa perjalanan antara Singapura dengan Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Namun belum tentu apakah kesudahannya sejak kerajaan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya pada 9 Mei lalu, dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa anggota kabinet berikrar untuk membatalkan projek itu untuk mengurangkan beban hutang Putrajaya sebanyak RM1 trilion (S$336 bilion).

Sejak itu, Putrajaya memberi isyarat yang tidak jelas tentang isu itu, dan menyatakan ia ingin menangguhkan projek tersebut dan bukan membatalkannya.

Malaysia juga mengeluarkan kenyataan bercanggah tentang pertemuan yang disarankan antara kedua-dua pihak berhubung isu itu.

Menteri Besar Johor Osman Sapian menambah pada Ahad bahawa kerajaan PH di negeri itu sedang menyemak projek-projek lalu yang diluluskan oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelumnya, bagi memastikan syarikat-syarikat gergasi industri tidak diberi kuasa monopoli dalam projek itu.

Kerajaan negeri akan meneliti semua projek, tidak kira skalanya dan menawarkan tender terbuka, kata Encik Osman.

"Tidak kira skala projek, kerajaan negeri akan melaksanakan satu sistem tender terbuka yang lebih seimbang dan adil," jelasnya di sidang dewan undangan negeri pada Ahad.

Beliau juga memberi jaminan, projek-projek mega di Johor termasuk projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dan Eco Park tidak dibatalkan tetapi sedang disemak.

"Kedua-dua projek mega itu iaitu HSR dan Eco Park di Kulai tidak dibatalkan tetapi sedang dikaji.

"Ini melibatkan kajian dan beberapa perkara seperti harga dan akan mengambil masa untuk diperhalusi," tambah ahli Dewan Undangan Negeri Kempas itu. 

Sumber : Today/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita