Skip to main content

Dunia

Laporan terbaharu ragui kesan serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan terbaharu ragui kesan serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran

Hanya satu daripada tiga tapak nuklear Iran, Fordow, mengalami kerosakan serius. (Gambar fail: Satellite image ©2025 Maxar Technologies / AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 04:46PM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 04:47PM
WASHINGTON: Beberapa laporan media terkini di Amerika Syarikat meragui dakwaan Presiden Donald Trump bahawa serangan udara Amerika bulan lalu berjaya “memusnahkan sepenuhnya” program nuklear Iran.

Penilaian risikan yang bocor kepada NBC News dan Washington Post menunjukkan bahawa hanya satu daripada tiga tapak nuklear Iran, Fordow, mengalami kerosakan serius, manakala dua lagi, Natanz dan Isfahan, mungkin boleh beroperasi semula dalam masa beberapa bulan.

Serangan ke atas Fordow, yang terletak di dalam gunung, berjaya melumpuhkan keupayaan pengayaan uranium selama dua tahun, menurut laporan Astro AWANI. 

Namun, struktur bawah tanah di Natanz dan Isfahan dilaporkan terlalu dalam untuk ditembusi bom 'bunker-buster' Amerika, menyebabkan hanya kerosakan permukaan berlaku.

Pentagon dan Rumah Putih tetap mempertahankan pendirian bahawa ketiga-tiga tapak itu “dimusnahkan sepenuhnya” dalam Operasi Midnight Hammer.

Lokasi sebenar 400kg uranium yang telah diperkaya masih tidak diketahui.

Tiada peningkatan radioaktif dikesan di negara jiran, menunjukkan tiada kebocoran berlaku, lapor Astro AWANI. 

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, tidak menolak kemungkinan bekas simpanan uranium rosak dan memberi amaran bahawa Iran boleh menyambung pengayaan dalam masa “beberapa bulan”.

Pemimpin Ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan dakwaan Encik Trump sebagai “berlebihan” dan menegaskan bahawa kerosakan terhadap infrastruktur nuklear negara itu tidak signifikan.

Iran membalas serangan dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera Amerika di Qatar, menyebabkan kerosakan kecil tetapi tiada kecederaan.

Rundingan nuklear antara Amerika dan Iran masih belum disambung semula, walaupun kedua-dua pihak menyatakan kesediaan selepas gencatan senjata selama 12 hari, menurut laporan Astro AWANI. 

Eropah mempertimbangkan untuk mengenakan semula sekatan automatik terhadap Iran di bawah Perjanjian Nuklear 2015 (JCPOA), yang telah lama dilanggar oleh Amerika sejak ia menarik diri daripada perjanjian tersebut pada 2018.

Iran menegaskan bahawa ia mempunyai hak yang sah untuk pengayaan uranium dan menyalahkan Amerika atas kegagalan rundingan itu.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita