Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Laporan risikan AS tentang bukti penampakan UFO masih tiada kesimpulan

Laporan risikan Amerika Syarikat (AS) yang amat dinanti-nantikan mengenai puluhan objek tidak dikenal pasti (UFO) yang dilihat terbang di ruang udara mendedahkan insiden itu masih tidak dapat dijelaskan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Laporan risikan AS tentang bukti penampakan UFO masih tiada kesimpulan

(Petikan skrin: Reuters/Pentagon)

Diterbitkan : 26 Jun 2021 04:21PM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 04:22PM

WASHINGTON: Laporan risikan Amerika Syarikat (AS) yang amat dinanti-nantikan mengenai puluhan objek tidak dikenal pasti (UFO) yang dilihat terbang di ruang udara mendedahkan insiden itu masih tidak dapat dijelaskan.

Namun ia tidak menolak kemungkinan sebahagian daripadanya adalah kapal angkasa makhluk asing.

Menurut laporan terbuka itu, para penyelidik hanya mampu memberi penjelasan berhubung satu daripada 144 penampakan UFO oleh pegawai AS dan sumber-sumber antara 2004 dengan 2021, iaitu yang sering dilihat semasa kegiatan latihan ketenteraan.

Satu-satunya insiden yang dapat diberi penjelasan itu rupa-rupanya satu belon besar yang mengempis.

Laporan setebal sembilan muka surat yang dikeluarkan semalam (25 Jun) itu bagaimanapun tidak membincangkan sebarang insiden tertentu.

Ia adalah laporan versi umum daripada versi sulit yang lebih terperinci, yang diserahkan kepada jawatankuasa khidmat bersenjata dan risikan Kongres.

Menurut laporan itu lagi, 18 daripada penampakan UFO yang dilihat dari pelbagai sudut, kelihatan menunjukkan pergerakan atau ciri penerbangan luar biasa yang mengejutkan.

Antaranya, ia mampu bertahan teguh semasa angin kencang pada altitud tinggi dan bergerak pada kelajuan ekstrem tanpa alat pendorong yang dapat dilihat.

Berdasarkan laporan itu, sebahagian daripada 144 penampakan tersebut boleh dijelaskan sebagai objek buatan manusia atau semula jadi seperti burung-burung atau dron yang mengganggu radar juruterbang, selain fenomena atmosfera semula jadi.

Yang lain mungkin merupakan ujian sulit pertahanan AS ataupun teknologi canggih tidak diketahui yang dicipta oleh Rusia atau China, menurut laporan itu.

Laporan itu menambah teknologi lebih maju diperlukan bagi mengenal pasti objek-objek yang lain.

Penampakan dikenali sebagai fenomena udara tidak dikenal pasti (UAP) itu "mungkin tiada penjelasan khusus," menurut laporan daripada Pejabat Pengarah Risikan Negara.

"Buat masa ini, kami kekurangan maklumat yang mencukupi dalam data untuk mengaitkan insiden berkenaan kepada penjelasan khusus," menurutnya.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut kemungkinan - atau menolak - bahawa sesetengah objek yang dilihat itu mewakili kehidupan di luar muka bumi.

Komuniti tentera dan perisik sudah menjalankan penyelidikan ke atasnya sebagai satu potensi ancaman.

"UAP jelas menimbulkan isu keselamatan penerbangan dan boleh mewujudkan cabaran kepada keselamatan nasional AS," menurut laporan itu lagi. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan