Laporan RCI Tabung Haji: 2 direman bantu siasatan SPRM
Dua individu termasuk seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung tuduhan rasuah serta penyelewengan kontrak yang dikaitkan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, lapor Astro Awani.
Dua individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah serta penyelewengan kontrak yang dikaitkan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. (Gambar: SPRM)
- SPRM menahan reman seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang bagi siasatan kes rasuah serta penyelewengan kontrak berkaitan RCI Tabung Haji.
- Penahanan berlaku di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 3 Ogos, dengan perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya pada 4 Ogos.
- Pengarah syarikat disyaki memberi rasuah bernilai RM300,000 kepada mantan COO badan berkanun sebagai balasan projek ubah suai, manakala bekas pengurus ladang disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih getah bernilai RM8 juta.
- Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 selepas pendedahan laporan RCI Tabung Haji, dengan pengesahan penahanan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan secara berasingan kira-kira pada 7.00 malam dan 7.30 malam pada Isnin (3 Ogos) ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Perintah reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Selasa (4 Ogos) selepas permohonan dibuat SPRM.
Pengarah syarikat reka bentuk terbabit direman selama dua hari sehingga Rabu, manakala bekas pengurus ladang direman tiga hari sehingga Khamis.
Menurut sumber, pengarah syarikat itu disyaki memberikan rasuah kira-kira RM300,000 (S$93,926.34) kepada seorang mantan Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan beberapa projek ubah suai bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta (S$2.5 juta).
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2014 hingga 2018.
"Suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000," katanya.
Sementara itu, bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah pula disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada dua syarikat perladangan yang juga anak syarikat sebuah badan berkanun membabitkan nilai kira-kira RM8 juta (S$2.5 juta).
Menurut sumber, kesalahan itu dipercayai dilakukan antara 2015 hingga 2017.
"Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan membabitkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta," katanya.
Kedua-dua tangkapan itu menyusuli siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek berkenaan.
Kata Encik Abdul Halim, kes membabitkan pengarah syarikat reka bentuk disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, manakala kes bekas pengurus ladang disiasat mengikut Seksyen 18 akta sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.